Home Ajaran Sesat BERHATI-HATILAH DENGAN GERAKAN SULIT BATINIAH YANG MENYESATKAN AKIDAH UMAT ISLAM

BERHATI-HATILAH DENGAN GERAKAN SULIT BATINIAH YANG MENYESATKAN AKIDAH UMAT ISLAM

113
0

Di Malaysia, ajaran sesat memang telah dikesan semenjak dahulu lagi dan pengaruhnya meresap masuk ke dalam masyarakat Islam menerusi gerakan batiniah atau bertopengkan di sebalik nama tarikat-tarikat Sufiah yang dikenali. Ajaran tersebut lazimnya bergerak secara berkumpulan dan diketuai oleh guru atau pembawa ajaran itu yang dianggap mursyid serta kononnya mempunyai martabat yang tinggi daripada pengikut-pengikutnya.

Kesetiaan pengikutnya pula diukur dengan pengorbanan yang dicurahkan terhadap guru. Semakin banyak pengorbanan yang diberikan kepada guru semakin tinggilah penghormatan guru terhadap pengikutnya berkenaan dan semakin rapatlah hubungan mereka. Oleh itu, tidak hairanlah jika terdapat guru ajaran sesat memiliki kesenangan serta kemudahan yang diperlukannya kerana semua itu diperoleh hasil dari pengorbanan pengikut setianya. Bagi mereka syafaat guru merupakan suatu ganjaran yang amat diharapkan.

Tidak syak lagi, gerakan ajaran sesat itu jika dibiarkan membiak akan mencetuskan suasana yang menggugat keselamatan negara seperti yang berlaku di Batu Pahat, Johor pada 16 JULAI 1980. Dalam peristiwa tersebut, banyak nyawa telah terkorban dan cedera apabila kumpulan ajaran sesat yang dipimpin oleh seseorang yang mengaku sebagai Imam Mahdi menyerang balai polis Batu Pahat. Motif serangan itu adalah semata-mata menunjukkan kekuatan mereka sebagai pejuang kebenaran boleh menjadi kebal kerana beramal dengan ajaran tersebut.

Peristiwa seperti itu tidak mustahil akan berlaku lagi jika masyarakat mengambil sikap tidak peduli terhadap gerakan ajaran sesat yang berlaku di kawasan mereka.

Sumber: Buku Ajaran Sesat