Khutbah Jumaat dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 30 Ogos lalu dipertikai oleh seorang netizen di laman Facebook miliknya yang menggambarkan kononnya JAIS terlalu ekstrem dan menghasut semua umat Islam untuk menolak liberalisme, pluralisme, sekularisme dan ideologi ciptaan manusia. Bukan itu sahaja, beliau turut mengheret isu politik kepada khutbah berkenaan dan mempersoalkan kaitan perkara tersebut dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia.
Khutbah Jumaat ini adalah hak milik eksklusif orang Islam dan penulisnya adalah seorang yang bertauliah. Selepas teks khutbah disiapkan, ia akan disemak oleh panel yang terdiri daripada orang – orang yang arif tentang hukum – hakam agama Islam. Jika dilihat pada teks khutbah tersebut (https://e-khutbah.jais.gov.my/wp-content/uploads/2024/08/30.08.2024-RUMI-SUDAHKAH-KITA-MERDEKA.pdf), tidak ada salahnya dalam penulisan khutbah berkenaan sebaliknya menekankan aspek kemerdekaan itu bukan sahaja dalam aspek fizikal semata-mata sebaliknya merangkumi aspek mental, fizikal dan spiritual.
Hal ini kerana walaupun Malaysia sudah mencapai usia 67 tahun kemerdekaan, tetapi sebahagian besar rakyatnya masih lagi dijajah mindanya. Jadi, khutbah ini juga menerangkan bahawa manusia yang merdeka ialah mukmin muwahid iaitu orang yang mengesakan Allah SWT dan tidak menyekutukanNya. Mukmin muwahid adalah manusia merdeka yang bebas daripada belenggu perhambaan sesama makhluk. Tambah khutbah tersebut, Muslim dengan jati diri sebenar pasti menolak prilaku cemar tidak bermaruah dan kehidupan jijik yang tidak bermoral.
Semua pihak sememangnya sudah pun mengetahui bahawa setiap negara di dunia ini tidak akan lari dalam mengamalkan sistem pluralisme dan sekularisme sejak sekian lama dan ini termasuklah Malaysia. Namun, apa yang khutbah tersebut sampaikan adalah dalam kita mengamalkannya, jangan pula sampai terlebih hingga mengganggu gugat keimanan kita sebagai umat Islam. Dalam erti kata lain jangan pula sampai kita menjadi “hamba” kepada sistem tersebut.
Manusia yang merdeka melahirkan negara yang merdeka, negara yang utuh dan teguh. Keutuhan sebuah negara adalah berdasarkan keimanan, jati diri dan perpaduan rakyatnya. Islam sebagai agama yang benar telah menyediakan pelbagai tatakelola dalam membentuk individu merdeka dalam masyarakat dan negara. Setiap Muslim sesama Muslim adalah bersaudara yang perlu saling kukuh memperkukuh antara satu dengan yang lain. Setiap manusia walau berlainan jantina, ras dan bangsa perlu saling mengenali untuk mewujudkan keserasian serta masyarakat yang harmoni. Keutuhan dan keteguhan negara merdeka penting dalam mengekalkan kesejahteraan seterusnya kemajuan negara.
Peganglah kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan di dalam Perkara 3 (1) dan jangan cuba memecahbelahkan masyarakat Malaysia dengan ideologi songsang ini. Khutbah Jumaat adalah hak eksklusif umat Islam dan hanya umat Islam sahaja yang memahaminya. Mengapa perlu dipertikaikan?
Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)