Home Kemanusiaan/Motivasi MANUSIA YANG PALING DICINTAI ALLAH ADALAH MEREKA YANG PALING BERMANFAAT KEPADA ORANG...

MANUSIA YANG PALING DICINTAI ALLAH ADALAH MEREKA YANG PALING BERMANFAAT KEPADA ORANG LAIN

1334
0

Awal mula kehidupan kita di dunia ini adalah perjanjian kepada Allah SWT bahawa kita akan menjadi seorang hamba yang patuh akan suruhanNya dan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW demi mendapat keredhaan dan ganjaran syurga apabila kembali semula ke negeri abadi. Namun, ada satu hal yang perlu kita ambil peduli, iaitu menjadi seorang manusia yang bermanfaat kepada orang lain dalam meraih cinta dan kasih sayang Allah SWT.

Daripada Ibnu ‘Umar, bahawasannya ada seorang laki-laki yang mendatangi Rasulullah SAW. Ia berkata: “Wahai Rasulullah, manusia apa yang paling dicintai oleh Allah? Dan amal apa yang paling dicintai oleh Allah?”. Nabi SAW menjawab: Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia lain. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahan dari orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang muslim untuk suatu keperluan lebih aku cintai daripada beri’tikaf di masjid ini (masjid Nabawi) selama sebulan penuh.” (HR. Thabrani di dalam Al Mu’jam Al Kabir: 13280)

Tidak susah sebenarnya untuk menjadi antara hamba yang dicintai oleh Allah. Cukup dengan beribadah, beramal soleh dan memberi manfaat kepada manusia lain. Antara amalan yang boleh dilakukan untuk mendapat keredhaan dan kasih sayang Allah adalah:

–           Memberi bantuan dan pertolongan kepada orang lain yang didalam kesusahan atau kesulitan sehingga kesusahan itu terangkat.

–           Menolong membayarkan hutang orang lain jika berkemampuan.

–           Menghilangkan rasa lapar orang yang susah dengan memberikan makanan dan minuman.

Sesungguhnya, memberi manfaat kepada orang lain banyak ganjarannya di akhirat, bahkan sama seperti Rasulullah SAW yang lebih suka berjalan bersama seorang Muslim untuk memenuhi suatu keperluannya, daripada beri’tikaf di Masjid Nabawi selama sebulan. Semoga kita menjadi orang yang dicintai Allah dengan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.

Sumber: Laman Web Universiti Teknologi Malaysia (people@utm) dan Portal MyWilayah.com