Home Syiah JANGAN MUDAH TERPEDAYA DENGAN PROPAGANDA ‘PERPADUAN SUNNI-SYIAH’ YANG DICANANGKAN OLEH PENGIKUT SYIAH...

JANGAN MUDAH TERPEDAYA DENGAN PROPAGANDA ‘PERPADUAN SUNNI-SYIAH’ YANG DICANANGKAN OLEH PENGIKUT SYIAH KERANA IA AKAN MENYEBABKAN UMAT ISLAM TERUS TERKELIRU DENGAN KESESATAN AJARAN SYIAH

993
0

Sudah hampir sedekad ajaran atau fahaman Syiah ini diharamkan oleh pihak berkuasa di Malaysia, namun begitu ianya didapati terus berkembang sehingga menimbulkan kebimbangan yang boleh mengundang perpecahan dan permusuhan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

Lebih-lebih lagi apabila adanya pengedaran buku-buku Syiah, risalah-risalah yang bukan lagi diterjemah daripada Bahasa asing, malah ditulis sendiri dalam Bahasa Melayu oleh warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu sendiri dalam menyebarluaskan fahaman ini kepada masyarakat awam.

Ini bermakna dakyah Syiah bukan lagi dijalankan oleh warganegara asing sepertimana dahulu, namun ia adalah hasil daripada anak-anak Melayu yang kini sudah bergelar ustaz-ustaz Syiah dan bertindak sebagai rujukan penganut Syiah di Malaysia.

Slogan yang sering dicanangkan oleh penganut Syiah ialah ‘Perpaduan Sunni-Syiah’ atas hujah bahawa kita mempunyai Tuhan yang sama, kiblat yang sama dan nabi yang sama, dengan tujuan untuk mendapatkan simpati dan perhatian daripada pihak Sunni. Walhal, semua itu sekadar untuk mengelabui mata majoriti masyarakat Malaysia yang memegang fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah agar Syiah dapat diterima dengan mudah dan berdiri sama tinggi di Malaysia.

Justeru itu, negara kita sebagai sebuah negara Islam, undang-undang perlu ditegakkan bagi menjaga maslahah ummah. Apatah lagi jika ia membabitkan ancaman akidah dan pemikiran yang boleh memesongkan umat Islam di negara ini. Fahaman Syiah ini perlu disekat dengan segera. *Berhujah dan berdialog dengan penganut Syiah serta memberi penjelasan yang berterusan tentang kesesatan ajaran Syiah oleh para alim ulama memang wajar dilakukan demi menjaga akidah umat Islam daripada diselewengkan oleh fahaman-fahaman yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sumber: Buku Soal Jawab Isu Syiah di Malaysia, JAKIM.