Home Kemanusiaan/Motivasi SYUBHAH MEMAKAN DIRI HALALAN TOYYIBAN PILIHAN SEJATI

SYUBHAH MEMAKAN DIRI HALALAN TOYYIBAN PILIHAN SEJATI

44
0

Baru – baru ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan surat pekeliling bertarikh 2 September 2024 yang menamakan beberapa buah restoran ternama di negara ini bukanlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah bagi skim premis makanan / minuman. Sehubungan itu JAKIM menasihatkan umat Islam di negara ini agar lebih berhati – hati dalam mengunjungi premis – premis makanan di luar dan memastikan kesahihan halal yang digunakan.

Dalam perkara ini, umat Islam di Malaysia dinasihatkan untuk meninggalkan makanan diragui ataupun syubhah dan bertanggungjawab mencari makanan yang diyakini halal. Bukan itu sahaja, peniaga juga perlu bertanggungjawab dan jujur dalam pengendalian makanan supaya tidak menimbulkan keraguan. Walau di mana orang Islam berada, mereka mesti bertanggungjawab untuk mencari makanan yang diyakini halal dan meninggalkan sesuatu yang samar serta tidak jelas hukumnya. Ini kerana benda yang syubhah boleh jatuh kepada haram, jadi adalah lebih baik ditinggalkan sahaja. Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu…” (QS Al – Baqarah: 172).

Allah SWT memerintahkan kepada umatnya untuk mencari sumber rezeki yang paling baik dan halal. Setiap makanan yang dimakan akan menjadi darah daging kepada seseorang. Hal ini kerana, jika seseorang memakan makanan yang haram dan syubhah maka hatinya akan menjadi gelap. Selain itu, setiap daging yang tumbuh daripada perkara yang haram nescaya azab neraka baginya. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.” (HR Muslim).

Oleh itu, pilihlah makanan yang sudah terbukti dan disahkan halalnya. Jangan disebabkan viral, maka kita menolak hukum halal dan haram demi kepuasan tekak sendiri. Ingat, apa yang kita makan kelak akan menjadi darah daging yang akan mempengaruhi sifat kita di masa akan datang.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan