Semakin hari, kita melalui kehidupan yang semakin mencabar. Dunia sudah di akhir zaman, semakin banyak dugaan dan cubaan hidup yang muncul satu per satu hinggakan ia mengganggu kesihatan mental kita. Sehebat mana sekalipun seseorang itu dari segi kesihatan jasmani, namun seandainya mental sering terganggu menyebabkan kemurungan memungkinkan seseorang itu sanggup melakukan sesuatu tindakan di luar kewarasan fikiran.
Agama Islam begitu mengambil berat terhadap kesihatan mental dan jiwa dengan menyediakan banyak kaedah tertentu bagi setiap umatnya dalam berhadapan dengan sebarang situasi. Di antara kaedah yang boleh diamalkan adalah dengan melakukan solat dan mempraktikkan sifat sabar kerana kedua-duanya adalah ‘ubat dari wahyu’ yang diturunkan buat manusia. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:
“Sesungguhnya, berjayalah orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solat mereka.” (QS Al – Mu’minun: 1 – 2).
Beberapa kajian ilmiah telah dilakukan untuk mengesan impak langsung dari amalan solat terhadap kesihatan jasmani dan mental dan hasilnya jelas menunjukkan bahawa mereka yang tetap istiqamah melaksanakan perintah Allah dengan khusyuk sentiasa dalam keadaan yang sihat dan tenang jiwa. Solat merupakan perisai paling ampuh bagi setiap Muslim dalam menangani apa pun juga isu kehidupan. Apabila seseorang Muslim itu sering mengabaikan perintah Allah SWT seperti solat, bermakna dia meninggalkan Allah SWT.
Manakala sifat sabar itu adalah sifat peribadi yang sagat dimuliakan Allah SWT hinggakan dalam al-Quran ada lebih 80 kali kata sabar disebut dan hal itu menunjukkan betapa mulia dan tinggi kedudukan sifat sabar. Jadi sebagai seorang Muslim, kita seharusnya bersabar dalam apa pun situasi perlu sentiasa kekal berada dalam jiwa. Sesungguhnya setiap apa yang diperintah Allah SWT seumpama bersabar bukan sahaja memiliki fadilat dari segi ganjaran pahalaNya semata-mata, namun di sebaliknya ada juga kebaikan lain bagi kesihatan fizikal dan mental.
Justeru, lakukanlah kedua perkara ini agar beroleh keredhaan dan ketenangan di dalam hati. Allah SWT itu Maha Penolong dan akan menolong hambaNya di dalam kesusahan. Maka, berusahalah memohon di dalam doa dengan sesungguh – sungguhnya. FirmanNya:
“Wahai orang-orang yang beriman. Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat kerana sesungguhnya Allah bersama (menolong) orang-orag yang sabar.” (QS Al Baqarah: 153).
Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (28 September 2024)