Home Kemanusiaan/Motivasi PERTAHANKAN AKIDAH- BERSATULAH DALAM MENOLAK PENYELEWENGAN AGAMA

PERTAHANKAN AKIDAH- BERSATULAH DALAM MENOLAK PENYELEWENGAN AGAMA

112
0

Akidah adalah ikatan yang merupakan pegangan asas bagi umat Islam. Keruntuhan akidah boleh menyebabkan runtuhnya agama dalam diri seseorang. Perkara utama yang perlu dipelajari oleh umat Islam adalah ilmu akidah bagi memastikan agamanya kekal hingga ke akhir hayat. Mutakhir ini, timbul pelbagai ancaman-ancaman akidah yang menyerang umat Islam sama ada ia datang daripada pihak luar ataupun daripada umat Islam sendiri yang berusaha menyeleweng akidah dan kepercayaan masyarakat.

Ajaran sesat merupakan ancaman utama dan menjadi cabaran buat umat Islam di negara ini. Ajaran sesat sering kali mencabar keaslian ajaran Islam. Dalam konteks ini, maqasid syariah menekankan pentingnya memelihara akidah dan keyakinan umat Islam daripada sebarang pengaruh luar yang boleh menyesatkan. Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.” (QS Al – Baqarah: 42).

Mengapa kita perlu menolak penyelewengan agama?

1) Untuk memelihara agama (Hifz al-Din). Dalam konteks ini, maqasid syariah menekankan pentingnya memelihara akidah dan keyakinan umat Islam daripada sebarang pengaruh luar yang boleh menyesatkan.

2) Untuk memelihara jiwa (Hifz al-Nafs). Ajaran sesat tidak hanya merugikan aspek spiritual tetapi juga boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan individu. Adalah penting untuk memastikan keselamatan jiwa dan mental setiap individu terpelihara.

3) Untuk memelihara akal (Hifz al-Aql). Ajaran sesat sering kali menggunakan retorik yang menarik tetapi tidak berasaskan kepada fakta yang sahih. Ini boleh mengelirukan akal masyarakat. Pendidikan yang berterusan dan pemikiran kritis adalah kunci untuk menangkis ajaran ini.

4) Untuk memelihara keturunan (Hifz al-Nasl). Ajaran sesat boleh mempengaruhi struktur keluarga dan institusi sosial. Institusi keluarga harus dipelihara untuk memastikan generasi akan datang tidak terjebak dalam ajaran yang salah.

5) Untuk memelihara harta (Hifz al-Mal). Ajaran sesat boleh mempengaruhi ekonomi individu dan masyarakat. Penipuan dan eksploitasi yang sering terjadi dalam ajaran ini boleh merugikan masyarakat secara keseluruhan.

Oleh itu, sudah menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk memelihara akidah kita dari terus terpesong dengan sebarang ajaran agama yang menyeleweng daripada agama Islam. Firman Allah SWT:

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan Ku (Agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam) kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertakwa.” (QS Al – An’am: 153).

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ia nya tertolak.” (HR Bukhari dan Muslim).

Sumber: Khutbah Jumaat, 18 Ogos 2023, Jabatan Agama Islam Perak