Hidup di dunia ini penuh dengan dugaan dan cabaran, ia bergantung kepada setiap individu sama ada mereka mampu menghadapinya atau kecundang di tengah jalan. Namun, sebagai umat Islam kita jangan sesekali mengalah, kerana dunia ini adalah tempat kita ‘bekerja keras’, adi akhirat barulah kita akan ‘berehat’.
Dalam hidup seseorang mukmin akan sering dilatari dengan persoalan-persoalan berkaitan siapa yang kita akan jadi dan apakah perkara yang akan kita dapat? Ini kerana seseorang manusia yang sentiasa mencari formula untuk membuat koreksi diri akan sentiasa dapat menemui kebaikan dalam kehidupannya. Manakala manusia yang hanya menjalani hidup dengan sekadarnya tidak akan dapat membina keperibadian diri yang tinggi. Islam memperjuangkan kebaikan dan segala perbuatan baik. Islam juga menggesa umatnya berlumba-lumba melakukan kebaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana saja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (QS Al-Baqarah: 148)
Hakikatnya, manusia dijadikan Allah SWT dengan dua potensi iaitu manusia yang mempunyai nilai positif dan manusia yang negatif. Manusia yang positif adalah mereka yang mempunyai nilai murni yang tinggi dalam dirinya seperti taat kepada perintah Tuhan, berbuat baik kepada manusia lain dan baik terhadap diri sendiri, manakala manusia yang negatif adalah manusia yang merosakkan diri dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan nilai-nilai baik.
Dalam niat kita untuk berusaha menjadi hamba Allah yang baik, tuntutlah seberapa banyak ilmu dari ahli-ahlinya. Ini kerana dalam membina jati diri seorang hamba yang baik, ilmu itu menjadi keutamaan dan panduan kita dalam memperbaiki diri dan mendapat keredhaan Allah SWT. Jika dahulu, diri kita penuh dengan sifat mazmumah seperti, sombong, angkuh, riak dan sebagainya, pada kali ini cuba kita ubah transisi diri menjadi insan yang tawadduk, walaupun penuh dengan kemewahan, tapi sentiasa kekal rendah diri dan percaya itu semua adalah kurniaan Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Tidak akan berganjak kaki manusia pada hari kiamat dari sisi Tuhannya sehingga ditanya tentang lima perkara iaitu tentang umurnya dalam cara apa ia digunakan, tentang masa mudanya dalam cara apa ia dihabiskan, tentang hartanya dari mana ia diperoleh dan dalam cara apa ia dibelanjakan dan tentang apa yang ia amalkan daripada ilmu yang diketahui.” (HR At-Tirmidzi)
Oleh itu, sambutlah kedatangan tahun 2021 dengan keazaman untuk melakukan kebaikan dan memperbaiki diri bagi mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT. Keazaman murni sebegini tidak akan muncul dalam diri yang tidak memahami tentang kebenaran perhitungan di akhirat nanti. Justeru, marilah kita memanfaatkan kurniaan masa 2021 oleh Allah SWT untuk terus menjadi hambaNya yang benar-benar taat.
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)