Mutakhir ini semakin ramai manusia yang mudah diperdaya oleh tawaran dunia yang sementara. Sebagai contoh, beberapa laporan berita yang dikeluarkan berkenaan dengan beberapa individu yang diperdaya dengan pelaburan palsu hingga kerugian hampir setengah juta ringgit. Mangsanya pula terdiri dari kalangan yang mempunyai kerjaya, para pesara dan ahli perniagaan. Tidak kurang juga ada di kalangan mangsa datangnya dari kelas pertengahan.
Dalam artikel ini, bukan soal kelas golongan yang ingin dibincangkan. Tetapi soal kecerdikan manusia yang sepatutnya digunakan untuk menangkis godaan nafsu dunia. Seharusnya sebagai manusia yang telah dikurniakan akal oleh Allah SWT dengan tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk kitab oleh membezakan apakah yang datang kepada kita itu adalah baik atau sebaliknya mudarat kepada kita. Sabda Rasulullah SAW:
“Siapakah Mukmin yang bijak (wahai Rasulullah)? Rasulullah bersabda: “Mereka yang banyak mengingati mati dan mempersiapkan persediaan yang baik buat kehidupan selepasnya. Itulah orang yang bijaksana.” (HR Ibnu Majah).
Walaupun hadis di atas menekankan Mukmin yang bijak adalah Mukmin yang mengingati mati, namun sebagai hamba Allah SWT yang masih bernafas, kita hendaklah menjadi bijak dalam membuat keputusan hidup. Memang benar ada ayat “setiap manusia tidak lari dari melakukan kesilapan” atau “manusia makhluk yang lemah”, tetapi akal yang dikurniakan itu harus digunakan untuk berfikir, mengkaji dan menilai kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Bahkan Allah SWT turut memuji hamba ciptaanNya menerusi ayat dari surah Ali ‘Imran, ayat 110 bermaksud:
“Kamu (Umat Nabi Muhammad s.a.w.) adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia. (Kamu) menyuruh (manusia) melakukan kebaikan dan (kamu) mencegah daripada melakukan kemungkaran dan (kamu) beriman kepada Allah.”
Nikmat apa lagi yang kita mahu dustakan? Pemikiran yang bijak itu hanya ada pada manusia seperti kita dan bukan makhluk Allah SWT yang lain. Makanya kita perlu insaf dan sedar bahawa setiap daripada kita membawa obor Islam yang diamanahkan oleh Allah menerusi nikmatNya untuk menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin. Jangan kita asyik berhibur, berfoya-foya, menyalahkan nasib dan berpaling tadah serta tertawan dengan nikmat dunia yang palsu kerana sesungguhnya sifat sedemikian itu tidak layak disandarkan kepada hamba yang benar-benar beriman.
Sumber: Facebook My#HadithTime (https://www.facebook.com/myhadithtime/posts/ingat-mati-dianggap-bijaksana1-rasulullah-%EF%B7%BA-dilihat-sering-berpesan-kepada-sahab/566591951881005/)