Home Kemanusiaan/Motivasi DUNIA AKHIR ZAMAN NORMALISASI DOSA SEMAKIN DIBANGGAKAN

DUNIA AKHIR ZAMAN NORMALISASI DOSA SEMAKIN DIBANGGAKAN

26
0

Akhir zaman ini, banyak sekali perlakuan dosa yang semakin terzahir. Namun apa yang menyedihkan, ia bukan ditegah atau dicegah, malah semakin dibanggakan dan menganggap ia sebuah perkara biasa. Hal ini kita namakan sebagai budaya normalisasi di kalangan masyarakat. Sebagai contoh, tersebarnya fahaman mengenai feminisme unisex, iaitu fahaman yang tiada pemisahan antara lelaki dan perempuan daripada segi pakaian, perhiasan, percakapan dan suara, gaya berjalan serta gerak badan sehingga kepada yang lebih berat iaitu mengubah bentuk fizikal badan.

Bukan itu sahaja, kegiatan maksiat seperti berkhalwat, penzinaan, aktiviti pelacuran perjudian dan bermacam lagi jenayah akhlak juga kini dipandang enteng dengan alasan “menjaga kubur masing – masing”. Perlu kita ketahui, tanggungjawab mencegah kemungkaran ini bukan sahaja terletak di bahu individu yang bergelar ustaz atau badan agama sahaja, tetapi juga kepada semua individu yang bergelar Muslim kerana itulah yang membuktikan kesaksian (syahadah) kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dengan mengabaikan tanggungjawab ini, kita secara tidak langsung membiarkan kemaksiatan berkembang dan mengundang bala dan kemurkaan Allah kepada kita.

Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila ada satu maksiat dikerjakan di muka bumi, maka orang yang melihat lalu membencinya, dalam riwayat lain, “lalu ia mengingkarinya, maka ia sama seperti orang yang tidak melihatnya. Barangsiapa tidak melihatnya, namun ia reda dengan maksiat tersebut, maka ia seperti orang yang melihatnya.” (HR Abu Daud).

Sebagai umat Islam, kita melihat kehidupan ini melalui kacamata akhirat, berbeza dengan pandangan Barat yang melihat kehidupan ini hanya berakhir di dunia. Bagi kita, pengakhiran kehidupan di dunia hanyalah sebuah permulaan kepada kehidupan yang sebenar di akhirat. Kita percaya setiap amalan akan dihitung, dan adanya balasan dan azab Allah SWT di akhirat. Oleh kerana itu, kita menasihati mereka untuk bertaubat dan menegah apa yang mereka lakukan kerana tidak mahu mereka sebagai saudara seagama kita terjatuh ke dalam kecelakaan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan