Isu-isu ancaman akidah atau ajaran sesat masih lagi wujud sekalipun telah difatwakan dan dikenakan tindakan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebanyak 20 ajaran sesat terbaru yang kini dalam pemantauan secara khusus JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam di Negeri-Negeri (JAIN) dan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Antara langkah pembendungan penularan ajaran sesat yang diambil adalah memperkukuh kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), JAIN melalui jaringan dan kolaborasi dalam aspek penyelidikan, siasatan serta pengesanan terhadap ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki menyeleweng.
Pandangan daripada tenaga-tenaga pakar dalam bidang akidah dan aliran pemikiran dalam memberi nasihat terhadap isu-isu akidah umat Islam di Malaysia adalah perlu bagi mengurangkan dan meminimakan statistik perkembangan ajaran sesat. Mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup bersama kumpulan atau individu yang terlibat dengan ajaran yang meragukan, memberi kaunseling dan khidmat nasihat agama kepada mereka yang terlibat bagi membantu meluruskan kembali pegangan akidah.
Selain itu, menggiatkan usaha dan memanfaatkan platform atas talian dengan menganjurkan sesi-sesi dikusi ilmiah, penjelasan dan perkongsian ilmu untuk memberi fahaman serta menyedarkan masyarakat akan kewujudan aliran-aliran pemikiran atau doktrin yang menyeleweng tersebut.
Justeru itu, berpeganglah pada ajaran Islam yang benar yang mana ianya selari dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang memutuskan pandangan hukum supaya umat Islam di negara ini berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah sama ada dari segi akidah, syariah mahupun akhlak.
Sumber: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)