Home Kemanusiaan/Motivasi KONTROVERSI KLIP VIDEO ‘BERKEMBAN’: HORMATILAH KESUCIAN BULAN RAMADAN DAN SYAWAL

KONTROVERSI KLIP VIDEO ‘BERKEMBAN’: HORMATILAH KESUCIAN BULAN RAMADAN DAN SYAWAL

42
0

Berhibur dan menghasilkan karya khusus buat sambutan hari raya seakan sinonim dengan cara dan gaya masyarakat di Malaysia. Saban tahun, pasti akan ada lagu – lagu baru yang terhasil seolah ingin memberi nafas dan suasana baru menjelang hari raya. Namun, apa yang menyedihkan adalah penghasilan lagu yang baik tetapi muzik videonya seakan tidak menghormati kesucian bulan Ramadan dan kemunculan syawal tidak lama lagi.

Ini seperti sebuah klip video yang mengundang kontroversi apabila penyanyinya mengenakan pakaian seolah berkemban mengundang perhatian warga maya. Para netizen berpandangan pakaian itu jelas bertentangan nilai Islam dan budaya Melayu sebenar. Mereka juga menegaskan bahawa alasan pertama kita mempunyai perayaan Aidilfitri adalah kerana agama Islam, justeru pakaian digunakan perlu mencerminkan Islam iaitu lengkap menutup aurat, tambahan lagi hari raya adalah hari kemenangan buat umat Islam melawan hawa nafsu. Mereka melabelkan pakaian digunakan umpama kembali ke zaman jahiliah malah tarian memaparkan banyak tangan juga seakan di’import’ daripada agama lain.

Seharusnya semua pihak perlu cakna dengan keadaan masa kini apabila umat Islam masih lagi berpuasa dan kita masih lagi berada di bulan suci, bulan Ramadan. Hal ini juga turut disuarakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah ketika mengulas klip video tersebut. Beliau menegaskan lagi bahawa hari raya dalam Islam adalah membesarkan Allah SWT dengan bertakbir dan bertahmid di samping menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT.

Islam tidak melarang para penganutnya untuk berhibur dan berseronok namun bentuk hiburan itu mestilah dalam kerangka syariat juga tidak melanggar batasan yang ditetapkan. Sabda Rasulullah SAW:

“Celakalah seseorang itu apabila bulan Ramadan menemuinya kemudian berlalu pergi sebelum dia mendapatkan keampunan dan celakalah seseorang yang kedua orang tuanya berusia lanjut namun kedua orang tuanya tidak menjadi sebab yang memasukkannya kedalam Syurga (kerana tidak berbakti kepada ibu bapanya.” (HR At – Tirmidzi).

Umat Islam sepatutnya menghayati falsafah puasa di bulan Ramadan dan sambutan raya di bulan Syawal dengan penuh ikhlas dan tawadduk. Di kala bulan Ramadan hampir pergi meninggalkan kita, gunalah kesempatan yang ada untuk melakukan amal ibadah sepenuhnya, hindarilah perbuatan-perbuatan yang dapat mengurangi pahala ibadah puasa kita. Dalam kita bergembira dan berhibur, batas syariat perlu diawasi, akhlak dan tingkah perlu dijaga. Sambutan hari raya yang diraikan perlu seiring dengan penghayatan berlandaskan syariat atas ibadah puasa yang dijalankan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan