Tugasan mengajak manusia kepada tauhid iaitu mengesakan Allah SWT adalah misi seluruh para Nabi serta Rasul yang diwarisi oleh para ulama zaman berzaman. Jenis-jenis penyelewengan, kesesatan dan kekufuran berterusan berlaku ibarat barah yang mengakibatkan kerosakan pada aspek kepercayaan,pengamalan dan kerohanian seseorang Muslim.
Para ulama khususnya ahli kalam memainkan peranan dengan perbahasan, perdebatan dan penulisan berkaitan isu-isu kesesatan yang menyalahi ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Hal ini kerana dewasa kini perbincangan serta perbahasan berkaitan ajaran sesat dibicarakan umum tanpa dapat dikenal pasti atau diketahui kelayakan individunya. Terkadang tiba-tiba seseorang itu viral di sosial media dan mempunyai ramai pengikut membuatkan orang lain berasa ingin tahu, lalu menyertai ‘jemaah’ tersebut tanpa mengetahui asal-usul atau pentauliahan penceramah tersebut yang akhirnya boleh mengakibatkan kecundang dalam kesesatan.
Penting untuk diketahui bahawa kajian ajaran sesat adalah bidang genting, runcing dan penting yang memerlukan individu berkeahlian dalam bidang-bidangnya sama ada akidah, fiqah dan tasawuf. Justeru itu, tidak sewajarnya individu yang menolak pegangan dominan majoriti Ahli Sunnah Wal Jamaah, tidak beramal dengan fiqah yang empat dan menolak pengamalan tasawuf serta tarekat menilai isu-isu berkaitan.
Oleh itu, sekiranya terdapat ajaran selain yang berasaskan kepada empat sumber perundangan Islam yang disepakati iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias, maka potensi untuk ajaran itu terpesong dari ajaran Islam sebenar adalah tinggi. Oleh itu, peliharalah akidah Islam bersama kerana umat Islam sendirilah penentu kepada jatuh bangun agama Islam itu.
Sumber: Journal of Ifta and Islamic Heritage, Vol.1(1) – Universiti Kebangsaan Malaysia