Home Kemanusiaan/Motivasi SAMBUTLAH HARI RAYA AIDILFITRI DENGAN BERPADA – PADA DAN SESUAI MENGIKUT TUNTUTAN...

SAMBUTLAH HARI RAYA AIDILFITRI DENGAN BERPADA – PADA DAN SESUAI MENGIKUT TUNTUTAN AGAMA

533
0

Hari Raya Aidilfitri kali ini disambut dengan meriah di segenap pelosok dunia dan tidak terkecuali di negara kita Malaysia. Sebagai sebuah negara yang majmuk, sudah menjadi satu tradisi bagi setiap perayaan untuk mengadakan rumah terbuka dan ini juga tidak terkecuali bagi sambutan Aidilfitri pada kali ini. Sudah pasti pada hujung minggu ini, begitu banyak jemputan rumah terbuka yang bakal dihadiri.

Namun, tradisi menganjurkan acara rumah terbuka daripada sudut pandangan Islam mengandungi beberapa amalan mulia seperti menjamu makanan, mengeratkan hubungan silaturahim, ziarah menziarahi, menghulurkan sedekah serta memuliakan dan meraikan tetamu. Dalam hal memberikan makanan kepada orang lain, perkara tersebut dianggap sebagai amalan sedekah yang dituntut oleh agama sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru RA, bercerita, bahawasanya ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad SAW:

“Apakah amalan yang paling baik dalam Islam? Lalu Baginda menjawab: Engkau memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenal mahupun kepada orang yang tidak engkau kenal.” (HR Bukhari).

Bukan itu sahaja, amalan menghubungkan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat juga mempunyai fadilat yang besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.” (HR Bukhari).

Suasana kemeriahan majlis rumah terbuka juga lebih bermakna apabila orang ramai dapat berjabat tangan dan bersalaman memohon kemaafan. Bagaimanapun, beberapa perkara perlu dielakkan ketika kesibukan menerima kunjungan tetamu dan menganjurkan acara rumah terbuka seperti amalan pembaziran, makan secara berlebihan, tidak menghormati tuan rumah, meminta-minta hidangan dan menjalankan aktiviti hiburan yang keterlaluan.

Aidilfitri adalah hari bergembira untuk seluruh umat Islam. Amalan ziarah-menziarahi, menjamu makan, bermaaf-maafan dan bertukar-tukar hadiah sepanjang Syawal adalah harus hukumnya. Ia hanyalah sekadar suatu tradisi yang diamalkan demi mengambil keberkatan sepanjang Syawal yang mulia. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan tersebut untuk kembali menyatukan hati serta menyuburkan perasaan saling mencintai dan menyayangi dalam segenap lapisan masyarakat. Inilah sambutan perayaan yang sebenar – benarnya mengikut tuntutan syarak dan agama Islam.

Sumber: Harian Metro (21 April 2023).