Hasil kajian daripada sebuah artikel yang bertajuk ‘Does Religion Stave off the Grave? Religious Affiliation in One’s Obituary and Longevity’ yang memfokuskan kepada kesan hidup beragama dalam memanjangkan umur bukanlah menjadi hujah utama kelebihan beragama, namun ianya boleh menjadi sokongan bagi membezakan mereka yang beragama dan tidak beragama.
Merujuk kepada lebih 1,000 responden obituari daripada akhbar di 42 buah negeri dalam Amerika Syarikat oleh ahli-ahli akademik bidang psikologi daripada Ohio University menunjukkan bahawa mereka yang beragama hidup 5.64 tahun lebih lama daripada mereka yang tidak beragama. Malah, kajian kepada 500 responden di Lowa pula menunjukkan peningkatan kepada 6.48 tahun di mana mereka menyimpulkan bahawa hidup di kawasan yang beragama turut memberi impak yang sama.
Menurut Syeikh Abdul Rahman Habannakah al-Maidani dalam ‘Kawasyif Zuyuf’, terdapat beberapa kesan psikologi bagi individu yang tidak mempercayai Tuhan. Sifat-sifat ini bukanlah datang sekaligus pada seseorang ateis, tetapi mungkin wujud beberapa sifat atau sebahagiannya dalam jiwa mereka. Antaranya ialah:
- Perasaan bingung dan kacau bilau serta hilang ketenangan jiwa;
- Rasa terpenjara dalam diri;
- Kemurungan dan cemas;
- Kesedihan dan tertekan;
- Rasa ingin membunuh diri;
- Rasa kebencian teramat sangat;
- Sifat curiga yang melampau;
- Rasa keluh kesah yang tidak redha;
- Pengasingan diri dan mementingkan diri; dsb
Walaupun kemungkinan ada yang menafikan sifat-sifat ini pada diri ateis, hakikatnya seseorang ateis yang komited dengan pegangannya sentiasa akan rasa tidak puas selagi mana tidak mencabar intelektualnya untuk berdiskusi dengan orang beragama. Jika seseorang yang beragama itu tidak mempunyai jawapan yang memuaskan akal, ia seolah-olah satu kepuasan bagi mereka sendiri. Akhirnya, mereka sedar bahawa itu cumalah sifat ego yang semakin menggunung dalam jiwa seorang ateis. Nauzubillah.
Sumber:Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan