Dunia hari ini menyalahkan agama Islam yang dikatakan sebagai punca segala bentuk keganasan. Namun, apa yang mereka tidak tahu ialah semua ini merupakan propaganda musuh-musuh Islam yang tidak senang dengan kedamaian, toleransi, sifat timbang rasa dan kasih sayang yang dianjurkan dalam agama Islam itu sendiri.
Firman Allah SWT:
“Dia telah memilih kamu dan tidak menjadikan kamu menanggung susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu orang Islam sejak dahulu, dan di dalam al-Quran ini, supaya Rasulullah menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang benar dan salah).” (QS al-Hajj: 78)
Berdasarkan ayat di atas, maka jelas dan nyata lah Allah SWT memilih Islam sebagai agama yang diredai di sisi-Nya, menamakan agama ini sebagai Islam yang diwahyukan kepada Baginda SAW melalui perantaraan Jibril As. Dialah juga yang menamakan penganut Islam sebagai Muslim. Hal ini kerana Islam cintakan kedamaian dan bencikan keganasan. Islam yang bererti damai, selamat, sejahtera, penyerahan diri, taat dan patuh adalah agama yang membawa kedamaian, keselamatan dan kesejahteraan kepada kehidupan semua makhluk. Islam amat menganjurkan umatnya berkasih sayang bukan sahaja sesama Islam malah untuk seluruh manusia yang ada di muka bumi ini seperti sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya,” (HR At-Tarmizi)
Dalam hadis lain Rasulullah SAW juga bersabda:
“…Kasih sayang itu tidak terbatas pada kasih sayang salah seorang di antara kalian kepada sahabatnya (mukmin), tetapi bersifat umum (untuk seluruh umat manusia)” (HR At-Tabrani).
Cuba kita lihat umat-umat Muslim yang mempraktikkan ajaran Islam sepenuhnya di dalam kehidupan mereka, sebagai contoh Muslim di Malaysia dan Indonesia, mereka boleh hidup aman dan harmoni serta saling berkasih sayang dengan orang bukan Islam walaupun berbilang kaum dan agama. Sekiranya mempunyai perselisihan, kita akan menyelesaikannya secara tuntas melalui perbicangan. Itu apa yang diajar oleh Islam selama ini.
Hakikatnya, Islam ialah agama yang amat membenci keganasan dan kezaliman. Islam memerintahkan umatnya berkasih sayang sesama makhluk di atas muka bumi ini dan meletakkan kedamaian dan kesejahteraan sebagai asas dalam kehidupan. Sebagai seorang Muslim, kita disarankan untuk meyakini bahawa Islam adalah agama fitrah yang menjunjung kedamaian sejagat. Kita juga hendaklah berperanan sebagai da’i untuk menyebarluaskan dakwah Islam serta menonjolkan kedamaiannya kepada semua manusia.
Sumber: Berita Harian “Islam bukan pencetus keganasan” (18 Mac 2017) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)