Home Liberalisme TIADA ISTILAH ISLAM LIBERAL DALAM ISLAM KERANA FAHAMAN LIBERAL ADALAH FAHAMAN YANG...

TIADA ISTILAH ISLAM LIBERAL DALAM ISLAM KERANA FAHAMAN LIBERAL ADALAH FAHAMAN YANG SESAT DAN MENYESATKAN

1021
0

Istilah seperti Islam liberal dan Islam progresif jika terus disebut-sebut serta digunakan secara meluas, dibimbangi menjadi tiket mudah kepada pejuang fahaman songsang menghalalkan tafsiran mereka terhadap agama.

Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran, berkata ia menunjukkan keyakinan kuat golongan ini, bahkan seperti mencabar kedudukan ulama. Ia gerakan yang kuat untuk meyakinkan masyarakat bahawa mereka satu wakil atau mazhab yang sah untuk mentafsir Islam.

Mereka ini bukan saja menyifatkan pemikiran dibawa lebih terbuka, bahkan secara proaktif ingin membebaskan umat Islam daripada pandangan agama yang dikatakan jumud. Golongan ini mempunyai cita-cita cukup besar sehingga ingin membangunkan semula agama yang sedia ada dan yang telah sempurna. Walaupun kita ada empat mazhab, namun semua bersetuju pada asas dan usul yang sama. Cuma, perbezaannya dari segi istinbat (kaedah mengeluarkan hukum daripada sumber seperti al-Quran dan hadis) serta sumber hukum, bahkan adat juga boleh menjadi satu hukum pada sebahagian mazhab.

Kelompok liberal di Indonesia lebih parah kerana melampaui batas sehingga tahap hendak melakukan kajian semula terhadap al-Quran, mahu mengubah istilah yang ada kerana dikatakan disalah tafsir oleh sahabat Rasulullah SAW serta ulama terdahulu. Islam itu sudah sedia lengkap dan label sebegini boleh dikatakan satu modus operasi standard yang biasa berlaku bagi mana-mana penyelewengan.

Istilah Islam liberal bunyinya seakan bagus, tetapi sebenarnya mereka membawakan banyak perkara yang bertentangan dengan hukum Islam seperti mengaitkan ajaran agama sebagai ketinggalan zaman, tidak adil dan memperjuangkan hak murtad. Oleh itu istilah Islam Liberal adalah istilah yang salah dan mengelirukan yang tidak sepatutnya digunakan kerana fahaman liberal bukan ajaran Islam malah ia fahaman yang sesat dan menyesatkan.

Sumber: Berita Harian Online – Selasa, 28 Ogos 2018