Zaman kini ramai para pendakwah menggunakan jalan yang unik untuk berdakwah dan bukannya hanya berceramah dan tazkirah semata – mata. Pada hari ini kebanyakkannya menggunakan pendekatan muzik untuk menarik minat anak muda ke jalan Allah SWT. Namun, apa yang tidak menariknya, ada kala muzik yang digunakan itu boleh jadi tersasar dan tersimpang daripada ajaran agama yang sebenar.
Seperti yang berlaku di negara jiran kita, Indonesia apabila festival agama yang seharusnya menjadi ladang pahala buat penganjurnya bertukar menjadi sampah dosa apabila festival berubah menjadi sebuah konsert rancak yang menggunakan alunan muzik disertakan dengan ayat al – Quran. Nauzubillahiminzalik! Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya perkara halal dan haram itu jelas, dan terdapat perkara yang samar-samar (syubhah) antara keduanya, yang tidak diketahui oleh sekian ramai manusia. Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang syubhah, dia telah menjaga agama dan kehormatannya. Sesiapa yang termasuk dalam perkara syubhah, dia telah jatuh dalam perkara haram, seumpama pengembala yang mengembala binatang peliharaannya di sekitar kawasan larangan, lama-kelamaan akan jatuh ke dalamnya.” (HR Muslim).
Bukan hanya itu sahaja, malahan konsert berkenaan bercampur antara lelaki dan wanita ajnabi yang menari – nari disusuli dengan minuman keras yang dibawa masuk. Ini sememangnya haram di sisi agama. Bagamaimana penganjuran sebegini dibenarkan? Adakah mereka dengan sengaja mengundang bala Allah SWT?! Kita ini sudah berada di akhir zaman, maka benarlah apa yang diperkatakan oleh Rasulullah SAW. Sabda Baginda:
“Akan ada beberapa kaum dari umatku yang akan menghalalkan zina, kain sutera (bagi lelaki), khamar (arak) dan muzik.” (HR Bukhari).
Mendengar muzik itu tidak salah malah hukumnya harus. Tetapi apabila ia menggunakan ayat al – Quran untuk mengajak manusia ke jalan yang sesat, itu sudah jatuh hukum haram! Malah Allah SWT sangat murka dengan keadaan sebegitu. FirmanNya:
“Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.” (QS Luqman: 6).
Jadi, renung – renungkanlah. Ayat Allah SWT dibawa dalam konsert yang lagha? Kita sememangnya mengundang murka dan bala Allah SWT. Maka sedarlah sebelum terlambat.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)