Bulan Ramadan adalah bulan tumpuan untuk melaksanakan ibadah secara penuh untuk mendapat pahala yang berlipat ganda. Benar kenyataan ini namun ada salah pada konsepnya. Adakah setelah bulan Ramadan berlalu pergi kita akan kembali kepada keadaan yang asal? Walaupun bulan Ramadan berlalu pergi kita sebagai umat Islam perlu sentiasa beristiqamah dalam menjalankan tanggungjawab kita untuk terus menjadi umat Islam yang baik.
Istiqamah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan seorang Muslim. Seorang Muslim hendaklah sentiasa beristiqamah dalam beramal soleh, seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. FirmanNya:
“Maka istiqamahlah (tetaplah) engkau (Muhammad pada jalan yang benar) sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan juga orang yang bertaubat bersamamu…” (QS Hud: 112).
Namun, satu benda yang patut kita ketahui adalah beristiqamah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh sesiapa pun jua biarpun lidah yang tidak bertulang ini begitu petah melafazkannya ke seantero dunia. Ini kerana istiqamah sebenarnya sedikit sebanyak menuntut pengorbanan yang penuh tulus daripada seseorang Muslim.
Selain daripada beristiqamah mempertahankan kebenaran dan kepercayaan yang bertakhta di jiwa sanubarinya, seorang Muslim juga dituntut supaya beristiqamah melaksanakan segala perintah Allah SWT dan juga menjauhi segala laranganNya. Beristiqamah dalam mengerjakan amalan soleh yang dianjurkan Islam adalah amalan yang amat afdal dan disukai di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
“Amalan yang paling disukai di sisi Allah ialah amalan yang dilakukan secara berterusan (istiqamah) biarpun sedikit.” (HR Bukhari).
Oleh itu, seorang Muslim yang bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya ialah seorang Muslim yang sentiasa menjunjung segala titah dan perintah Allah SWT pada sepanjang masa dan ketika tanpa memilih untuk beramal pada bulan atau hari tertentu. Seorang Muslim yang beristiqamah akan merebut setiap peluang dan kesempatan yang mendatang tanpa berlengah-lengah.
Ramadan telah berlalu pergi, namun kita sebagai umat Islam janganlah sekali – kali meninggalkan amalan yang selama ini kita laksanakan sepanjang bulan Ramadan. Teruskan beristiqamah untuk menjadi Muslim yang baik dan sentiasa patuh akan perintah Allah SWT serta hidup berlandaskan al – Quran dan As – Sunnah.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)