Al – Quran adalah panduan hidup bagi umat Islam. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta menginfaqkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka dengan mengharapkan (daripada amalan yang demikian) sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (QS Al – Fathir: 29).
Beriman dengan al-Quran bermaksud percaya serta membenarkan tanpa sebarang keraguan bahawa kitab dan kalam Allah SWT yang terakhir diturunkan ialah al- Quran yang diturunkankan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Lafaz dan makna al-Quran adalah daripada Allah SWT. Al-Quran telah disempurnakan oleh Allah SWT dan terpelihara daripada sebarang tambahan dan kekurangan.
Allah SWT telah mengurniakan nikmat dan rahmat dengan menurunkan kitab al-Quran yang tidak ada sebarang keraguan dalam kandungan dari dahulu sehingga kini. Al-Quran dipenuhi mukjizat dan keagungan yang tiada tolok bandingnya. Ianya juga sebagai sumber ilmu bagi umat Islam dan petunjuk jalan kebenaran. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” (QS Al – Isra: 9).
Beramal dengan al-Quran mampu membentuk jati diri yang teguh, menjadikan manusia terdidik dengan akhlak dan budi pekerti tinggi, rajin berusaha dan berilmu tinggi. Segala-gala ini dapat dicapai apabila kita bertadabbur memahami al-Quran dan beramal dengannya. Al – Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Maka dari itu, jangan kita sesekali meninggalkan al – Quran jauh dari hidup kita kerana ianya ibarat pelita di dalam hidup kita bahkan mampu membantu kita terhindar dari seksaan kubur. Firman Allah SWT:
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (QS Al – Baqarah: 185).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan