Umat Islam mengalami proses kecairan identiti dan jati diri Islam apabila berhadapan dengan serangan pemikiran liberalisme. Perkembangan pemikiran ini di Malaysia bermula apabila sarjana-sarjana Melayu yang menyambung pengajian di Barat dan Eropah pulang ke tanah air dengan membawa bersama cara fikir dan budaya mereka termasuk sistem pendidikan yang merujuk kepada teori yang dikembangkan oleh Yahudi di Barat.
Hal ini telah mencetuskan suara-suara yang mempertikaikan peraturan Islam secara terang-terangan seperti pemakaian hijab bagi wanita, hak menjadi imam dan wali, pembebasan wanita dan seumpamanya. Malangnya, pandangan sebegini mendapat sambutan daripada kalangan anak muda yang kurang ilmu agama. Keadaan ini menjadi lebih tidak terkawal apabila media sosial dijadikan sebagai medium untuk melontar idea dan pandangan.
Hasilnya, sebahagian anak muda Islam menunjukkan kecenderungan terhadap pemikiran liberalisme ini. Mereka menganggap liberalisme sebagai satu pilihan yang betul untuk umat Islam pada hari ini. Faktornya disebabkan perasaan trauma dan bimbang terhadap apa yang pernah dilakukan gereja kepada penganut Kristian berulang kembali kepada umat Islam.
Sedangkan perkara seumpama ini tidak berlaku dalam agama Islam. Islam tidak mewakilkan ajarannya kepada agamawan dan ulama sebagaimana Kristian mewakilkan agamanya kepada paderi dan gereja. Islam adalah agama persaudaraan yang tidak membezakan antara ulama dan umat yang lain. Semuanya mempunyai taraf yang sama di sisi Islam tanpa membezakan warna kulit, pangkat dan kedudukan. Renung-renungkan.
Sumber: Jurnal Akademika, 91(1) – Universiti Kebangsaan Malaysia