Home Kemanusiaan/Motivasi RAIKAN PERSAMAAN DAN HORMATI PERBEZAAN PENDAPAT, ELAKKAN PERPECAHAN SERTA KUKUHKAN PERPADUAN

RAIKAN PERSAMAAN DAN HORMATI PERBEZAAN PENDAPAT, ELAKKAN PERPECAHAN SERTA KUKUHKAN PERPADUAN

3330
0

Adat dalam kehidupan, sudah pasti setiap daripada kita mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza. Ini amatlah bagus untuk persaingan yang sihat selain daripada percambahan variasi idea. Namun begitu, tidak semua pihak dapat menerima dan menghormati perbezaan pendapat kerana merasakan mereka mempunyai idea yang lebih baik.

Perbezaan yang berlaku di dalam memahami dalil-dalil syarak adalah satu lumrah di dalam kehidupan. Ini kerana, akal manusia itu berbeza-beza dari sudut tahapnya. Tambahan pula, perselisihan atau perbezaan pendapat ini telah berlaku pada zaman Nabi SAW dan juga para sahabat RA. Apatah lagi, pada zaman selepas daripada mereka, sudah pasti lebih banyak perselisihan yang berlaku sehingga munculnya pelbagai mazhab dan aliran.

Firman Allah SWT:

“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) di dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan juga hari Akhirat.” (QS An-Nisa’:59)

Jika berlaku keadaan seperti itu, apa yang harus dilakukan sebagai umat Islam adalah dengan kembali dengan merujuk kepada al-Quran dan As-Sunnah. Apabila berlaku perbincangan terhadap perkara yang diperselisihkan, perbincangan tersebut hendaklah berlaku dengan tujuan mencari kebenaran. Masing-masing hendaklah dari awal perbincangan bersedia dari segi mental dan emosinya untuk tunduk kepada kebenaran hakiki. Ketika berselisih pendapat, hendaklah sentiasa dibezakan di antara perkara yang telah menjadi persepakatan dalam kalangan ulamak dan juga perkara yang tidak disepakati.

Kesimpulannya, sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan juga rasul-Nya perlulah mengutamakan adab-adab yang diajarkan oleh Islam dalam menguruskan setiap perselisihan dan perbezaan yang berlaku. Tidak salah mempunyai pendapat yang berlainan tetapi jangan sampai berlakunya perpecahan di dalam masyarakat. Perbezaan pendapat sepatutnya dihormati dan diraikan. Malah, ada kata-kata khalifah umat Islam Umar bin Abd al-Aziz berkaitan perselisihan yang berlaku dalam kalangan umat Islam:

“Aku tidak gembira jika para sahabat Muhammad SAW tidak berselisih pendapat sesama mereka. Ini kerana, jika mereka tidak berselisih pendapat maka tidak akan berlakunya rukhsah.” [Kitab al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 116/2]

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan