Ajaran sesat bukanlah satu perkara yang baru pada masa kini, malah pertumbuhan ajaran sesat dari hari ke hari semakin bertambah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Baru-baru ini kecoh semula berkenaan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas melalui laman sosial Facebook Syeh Haqtullah. Sebenanya, ajaran ini telah difatwakan haram oleh kebanyakan negeri di Malaysia seperti Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang termasuk JAKIM pada tahun 2017.
Ajaran sesat Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas ini telah dipeloporkan oleh Ismail bin VK Kassim atau lebih dikenali sebagai Ismail Kassim. Ilmu Syahadah yang dimaksudkan ialah ilmu penyaksian roh yang sedang bersyahadah. Antara bentuk penyelewengan ajaran tersebut adalah seperti berikut:
i- Wajib mempelajari Zikir Nafas kerana tiada cara lain untuk mencari Allah kecuali melaluinya;
ii- Terbatal kesemua rukun Islam sekiranya tidak mempelajari Ilmu Syahadah yang dibawa oleh Ismail Kassim;
iii- Tuntutan mencari saksi di alam akhirat yang dikatakan akan diutuskan oleh Allah sekiranya mengamalkan Zikir Nafas;
iv- Amalan Zikir Nafas adalah sabit melalui al-Quran, jika ingkar bermakna syak terhadap ayat al-Quran.
Selain itu, pengikut Ajaran sesat Ilmu Syahadah ini perlulah mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum bersalaman dengan Ismail Kassim kerana tok gurunya dianggap sebagai membawa al-Quran yang hidup. Setiap pengikutnya hendaklah berasa yakin bahawa bahwa tok gurunya dapat mengesan ketaatan anak muridnya dan sesiapa yang menderhaka, membantah dan meragui tok gurunya, kelak akan terjerumus ke dalam kecelakaan dan kebinasaan.
Justeru itu, adalah jelas dan nyata bahawa Ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas ini sangat jauh terpesong dengan ajaran Islam sebenar dan bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Selain itu, pengikut ajaran ini dengan mudahnya mengkafirkan orang yang tidak menerima ajarannya, malah turut menghina para Sahabart Nabi dengan tuduhan munafik. Hal ini sudah cukup menjadi bukti kukuh bahawa ajaran ini adalah ajaran sesat yang bercanggah dengan akidah Islam. Justeru umat Islam diseru agar tetapkanlah akidah dan kuatkanlah iman supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang meragukan dan memesongkan seperti ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas ini.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan Facebook Syeh Haqtullah