Islam yang sinonim dengan ‘kearaban’ bukanlah menggambarkan bahawa semua umat Islam faham Bahasa Arab. Bahasa al-Quran yang berbahasa Arab juga menjadikan sebahagian golongan umat Islam menganggap segala muzik atau syair berbahasa Arab semuanya adalah lagu-lagu keagamaan sehingga dirasakan sesuai untuk dipersembahkan di dalam upacara-upacara keagamaan dan menjadi ikutan.
Misalnya lagu Ya Tabtab Wa Dalla yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi Lebanon, Nancy Ajram, telah tular dalam kalangan masyarakat Islam sehingga menjadi ikutan dan dipersembahkan sebagai selawat kepada Nabi Muhammad SAW dalam upacara keagamaan. Sedangkan lirik lagu itu menggambarkan percintaan dan pujian terhadap kekasihnya yang bertubuh seksi:
“…tubuhmu yang jinjang duhai kekasihku, bagai ranting kelor yang lentur…”
Hal ini menunjukkan bahawa bukan setiap lagu berbahasa Arab itu adalah lagu-lagu keagamaan, apatah lagi boleh dijadikan selawat. Nancy Ajram juga bukanlah orang Islam, tetapi Kristian Ortodoks.
Justeru itu, berhati-hatilah dengan setiap lagu khususnya berbahasa Arab. Kaji dan fahami dahulu maksud lagu sebelum menjadi ikutan lebih-lebih lagi untuk didendangkan sebagai selawat yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur dengan muzik, namun setiap perkara yang dilakukan ada batasnya demi menjaga martabat agama Islam dan maruah umatnya.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- APR 2025 dan https://www.instagram.com/reel/DE5Ia9RSoKL/?igsh=MWFhamszYTlzZHl0dw==