Home Kemanusiaan/Motivasi HINDARI SIKAP MELAMPAU (GHULUW) DAN EKSTREMISME KERANA IA DILARANG DALAM ISLAM

HINDARI SIKAP MELAMPAU (GHULUW) DAN EKSTREMISME KERANA IA DILARANG DALAM ISLAM

1490
0

Dari mana munculnya pemikiran melampau (ghuluw) dan ekstremisme dalam agama? Melalui sebaran secara meluas, maksudnya serangan itu bukanlah secara fizik seperti menggunakan senjata atau apapun yang berhubungan dengan gerakan fizik seperti kekerasan, tapi lebih merupakan serangan yang sepintas lalu tidak kelihatan atau tidak disedari tetapi mampu menembus akal dimana akal seseoranglah yang menentukan gerak tubuh dan perilaku seseorang tersebut.

Hal ini sangat merbahaya terutama sekali buat golongan belia yang masih mentah akalnya kerana dengan sekali penyebaran, maka mereka akan lebih cepat menyerap. Sheikh Yusof Al-Qaradhawi pula menghuraikan bahawa sikap melampau (ghuluw) dalam beragama ini mempunyai beberapa ciri antaranya fanatik kepada sesuatu pandangan, berperasangka buruk terhadap orang lain, terlalu mempersusah sesuatu urusan yang mudah hinggalah mudah mengkafirkan orang lain yang berbeza dengan pandangan mereka.

Firman Allah SWT:

“Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan dengan cara yang tidak benar dalam agamamu (ghuluw). Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulu (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus” (QS al-Ma’idah: 77).

Sementara itu, Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya supaya tidak melampau (ghuluw) dalam beragama kerana sikap berlebih-lebihan melampaui apa yang dikehendaki oleh syariat itulah yang membinasakan umat sebelum ini seperti sabda baginda Rasulullah SAW:

“Wahai sekalian manusia, jauhilah sikap ‘ghuluw’ (melampaui batas) dalam agama. Sesungguhnya perkara yang membinasakan umat sebelum kalian adalah sikap ‘ghuluw’ mereka dalam agama” (HR an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad).

Berdasarkan firman Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW di atas, sudah terang dan nyata akan perintah Allah SWT kepada kita sebagai umatNya agar tidak berlebih-lebih (ghuluw) dalam sesuatu hal, apatah lagi yang melibatkan hal agama. Ini kerana perbuatan berlebihan ini jauh menyimpang dari ajaran sebenar Islam yang mengamalkan keserdehanaan dalam semua perkara. Sikap melampau yang ditunjukkan oleh sebahagian kaum Muslimin akan menimbulkan sikap melampau atau keras pula oleh sebahagian kecil mereka yang bukan beragama Islam terhadap agama Islam. Lantaran itu adalah perlu umat Islam menolak sebarang bentuk keganasan mahupun sikap melampau dalam semua perkara.

Kejahilan menyuburkan sikap melampau (ghuluw) dan ekstremisme, baik sikap melampau (ghuluw) dan ekstremisme secara radikal mahupun sikap melampau (ghuluw) dan ekstremisme secara liberal. Kerana itu menjadi tanggungjawab ilmuwan hapuskan kejahilan dan kekeliruan ini, sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan jika golongan ilmuwan disibukkan dengan perkara yang bukan tugas hakikinya atau menyibukkan diri dalam hal remeh temeh dan mengejar habuan dunia. Marilah kita semua kembali kepada pemahaman Islam yang sebenar yang membawa cahaya kepada seluruh umat manusia, menyebarkan kebaikan dan rahmahnya ke seluruh alam.

Sumber: Berita Harian “Kejahilan suburkan ekstremisme” (24 Jun 2017) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan