Home Kemanusiaan/Motivasi SENTIASALAH MELAKUKAN KEBAIKAN DAN JADILAH SEBAIK-BAIK MANUSIA DENGAN MEMBERI MANFAAT KEPADA...

SENTIASALAH MELAKUKAN KEBAIKAN DAN JADILAH SEBAIK-BAIK MANUSIA DENGAN MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN

411
0

Hidup sebagai manusia di bumi tuhan ini ada adab dan aturannya. Dan aturan itu disertakan sekali dengan segala kebaikan yang perlu dilakukan. Setiap daripada kita telah mengikat janji dengan Allah SWT untuk melakukan kebaikan sebelum roh kita ditiupkan ke dalam rahim ibu.
Allah SWT berfirman:

“…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana saja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (QS al-Baqarah: 148)

Ayat di atas merupakan suruhan Allah SWT kepada hamba-hambaNya agar sentiasa melakukan kebaikan kerana Allah SWT akan menilai setiap perilaku kita tanpa terleka sedikit pun. Buat baik, balasannya baik dan dikurniakan ganjaran syurga. Jika kita memilih untuk melakukan kejahatan, maka balasan sebaliknya pula akan diberikan. Kita semua mempunyai dosa yang perlu ‘ditebus’ dengan kebaikan. Maka, dengan melakukan kebaikan serta berlumba-lumba melakukannya, ia dapat menghapuskan dosa dan kesilapan lalu.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (lain).” (HR at-Tabrani)

Lihatlah orang di sekeliling kita, hulurkan bantuan sekiranya ada insan yang memerlukan. Bantuan bukan saja dalam bentuk wang ringgit, tetapi rasa kebersamaan, memberi nasihat, memudahkan urusan, mengambil berat, menzahirkan simpati, memahami perasaan dan banyak lagi bentuk bantuan yang boleh meringankan beban orang lain. Sentiasalah membuat kebaikan sesama manusia kerana ianya akan dinilai oleh Allah SWT dari segenap sudut.

Sumber: Harian Metro “Pujuk diri buat kebaikan” (24 Disember 2018)