Home Kemanusiaan/Motivasi AMALKANLAH SIFAT ‘TAWADDUK’ (MERENDAH DIRI) KERANA IANYA TANDA KESEMPURNAAN IMAN

AMALKANLAH SIFAT ‘TAWADDUK’ (MERENDAH DIRI) KERANA IANYA TANDA KESEMPURNAAN IMAN

897
0

Hidup di dunia yang penuh dengan pancaroba ini kadangkala banyak dugaan yang harus ditempuhi kita sebagai khalifah sementara. Sebelum menuju ke negeri akhirat yang kekal abadi, banyak dugaan yang Allah SWT berikan kepada kalangan kita untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita terhadapNya. Ada yang diuji dari segi kemewahan dan ada yang diuji dengan kemiskinan. Begitu juga ujian terhadap akhlak. Ada yang diuji dengan akhlak mulia dan ada yang diuji dengan akhlak yang nista.

Dalam menghadapi ujian akhlak, sifat tawadduk amat susah untuk dikekalkan. Ini kerana hanya sebahagian kecil sahaja dari kalangan manusia yang berjaya menembusi ujian ini selebihnya gagal. Fitrah manusia diciptakan bersama sifat ego dan sikap sukar untuk menundukkan kehendak diri atau melebihkan keinginan orang lain. Firman Allah SWT:

“Dan rendahkanlah dirimu kepada orang-orang yang beriman yang mengikutimu.” (QS Asy-Syuraa: 215).

Jika hendak tengok kualiti diri, lihatlah kualiti hati. Apabila hati penuh dengan sifat rendah hati seperti yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW, baru hidup seorang insan itu berkualiti dunia dan akhirat. Didik hati kita agar jangan selalu berasa hebat, Tentukan kita jangan mengecilkan hati orang, terutama dalam keadaan hendak cepat melaksanakan tugas. Ada kala ketika berinteraksi banyak terbuat silap yang menyebabkan orang tersinggung.

Jika hendak tahu sama ada kita seorang yang rendah hati atau tidak, nilai diri adakah kita ini suka mengutuk dan memperlekehkan orang. Kedua, adakah kita suka melihat kebaikan orang atau keburukannya. Ketiga, adakah yang kita lakukan mengecilkan hati atau membahagiakan orang? Jika jawapannya negatif, maka perbetulkanlah diri kita ke arah yang lebih positif dan mulakanlah bersikap tawadduk di dalam diri dan jangan sesekali membangga diri dengan kelebihan yang kita ada. Ini kerana Mukmin yang bersifat tawadduk ini sudah dikira sempurna imannya.

Ingatlah, iblis dilaknat Allah SWT kerana bersikap takbur menolak kebenaran dan memperlekehkan Nabi Adam A.S. Iblis enggan sujud memberi penghormatan kepada Adam A.S walaupun itu arahan Allah SWT kerana iblis merasakan dirinya lebih mulia daripada Adam A.S. Adakah kita mahu mencontohi seperti iblis?

Allah SWT berfirman dalam surah Al – Luqman ayat 18 yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabur, lagi membanggakan diri.”

Sumber: Harian Metro (14 September 2018)