Home Kemanusiaan/Motivasi TRAGEDI PEMANDU MABUK: PERSPEKTIF SYARIAH DAN KONSEP DIAT DALAM ISLAM

TRAGEDI PEMANDU MABUK: PERSPEKTIF SYARIAH DAN KONSEP DIAT DALAM ISLAM

7
0

Tragedi kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu mabuk sehingga meragut nyawa insan yang tidak bersalah telah menggoncang sensitiviti masyarakat terhadap nilai nyawa manusia. Dalam perspektif Islam, nyawa adalah amanah yang sangat suci. Firman Allah SWT:

Dan tidaklah patut bagi seorang Mukmin membunuh Mukmin yang lain kecuali kerana tersalah (tidak sengaja). Dan sesiapa yang membunuh seorang Mukmin kerana tersalah, maka hendaklah dia memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar diat kepada keluarganya…” (QS An – Nisa’: 92).

Insiden sebegini menuntut penilaian bukan sahaja dari undang-undang sivil, tetapi juga dari sudut hukum jenayah Islam, khususnya konsep pembunuhan tidak sengaja dan mekanisme diat sebagai keadilan.

Dalam fiqh Islam, pembunuhan terbahagi kepada tiga kategori utama: sengaja (al-‘amd), separa sengaja (shibh al-‘amd), dan tidak sengaja (al-khata’). Kes yang melibatkan pemandu mabuk tidak boleh dilihat sebagai kemalangan biasa kerana wujud unsur kecuaian melampau yang dilakukan secara sedar. Mengambil bahan yang memabukkan, kemudian memandu secara berbahaya, menunjukkan kesedaran terhadap risiko yang boleh menyebabkan kematian. Sebahagian ulama menilai perbuatan ini lebih hampir kepada kategori shibh al-‘amd, di mana walaupun niat membunuh tiada, kesedaran terhadap risiko sudah wujud.

Konsep diat dalam Islam berfungsi sebagai pampasan kewangan kepada keluarga mangsa, mengiktiraf kehilangan yang dialami serta mengurangkan kesan sosial dan ekonomi akibat tragedi. Rasulullah SAW sendiri telah menetapkan kadar diat, antaranya sabda baginda bahawa diat bagi pembunuhan adalah 100 ekor unta, menjadi asas dalam fiqh untuk menentukan pampasan. Walaupun pelaku bukan Islam tidak terikat hukum pengharaman arak, perbuatannya jelas melanggar prinsip kemaslahatan yang diiktiraf oleh semua sistem moral. Dalam konteks moden, pampasan melalui insurans atau tuntutan sivil boleh dilihat sebagai manifestasi semasa prinsip diat.

Kesimpulannya, tragedi pemandu mabuk yang meragut nyawa orang tidak berdosa bukan sekadar kemalangan, tetapi peringatan betapa seriusnya tanggungjawab menjaga nyawa dalam Islam. Prinsip keadilan syariah menuntut setiap kehilangan nyawa diberi pembelaan sewajarnya. Konsep diat memperlihatkan keseimbangan unik dalam Islam: menghormati hak mangsa, menuntut tanggungjawab pelaku, dan menjaga kesejahteraan masyarakat. Rasulullah SAW bersabda:

“Hati-hatilah terhadap perbuatan yang membahayakan nyawa orang lain.” (HR Ahmad).

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang