Home Kemanusiaan/Motivasi PENGANIAYAAN SESAMA MUSLIM TINDAKAN KEZALIMAN YANG BAKAL MEMAKAN DIRI

PENGANIAYAAN SESAMA MUSLIM TINDAKAN KEZALIMAN YANG BAKAL MEMAKAN DIRI

34
0

Tular di laman TikTok baru – baru ini tentang isu beberapa rakyat Malaysia yang ditipu oleh seorang agen percutian di Korea Selatan. Agen percutian yang juga seorang rakyat Malaysia yang bermastautin di Korea Selatan itu didakwa telah menjalankan penipuan pakej percutian ke negara tersebut melibatkan bukan sahaja beribu bahkan berpuluh ribu ringgit dan tidak mengembalikan ganti ruginya. Ini menimbulkan ketegangan dan individu yang ditipu memilih untuk menularkan kes ini di media sosial berikutan agen tersebut juga antara pempengaruh di laman TikTok.

Penganiayaan merupakan perkara yang ditegah dalam Islam. Ia membawa kepada kemudaratan kepada individu, keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Perkara tersebut perlulah dijauhi dalam semua aspek kehidupan termasuklah dalam urusan perniagaan. Ini antara sebab mengapa Islam meletakkan garis panduan yang jelas dalam bab mualamat. Perniagaan yang berunsurkan penipuan, penindasan dan penganiayaan kepada pelanggan adalah dilarang di sisi syarak. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.” (HR An – Nisa’: 28).

Bahkan, Rasulullah juga bersabda dalam sebuah hadis, diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW telah melalui setimbunan makanan (yang dijual) lalu memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah SAW bersabda:

“Apakah semua ini wahai pemilik makanan?” Lelaki itu menjawab; “Makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda; “Kenapa kamu tidak jadikan yang basah itu di sebelah atas agar manusia dapat melihatnya. Sesiapa yang menipu maka ia bukan dari agamaku (yang sempurna).” (HR Muslim).

Ingatlah, Islam sangat tegas dalam hal penipuan. Hal ini boleh kita lihat dengan jelas bagaimana kemurkaan Allah hingga adanya sebuah surah khusus di dalam Al-Quran yang mencela dan mencelakakan golongan melakukan penipuan. Firman Allah SWT pada awal surah berbunyi:

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan)..” (QS Al-Mutaffifin: 1).

Penipuan dan penganiayaan tidak akan kekal selama – lamanya. Allah SWT pasti akan membalas segala perbuatan orang yang zalim sama ada lambat atau cepat. Jadi, jangan sesekali melakukan penipuan dalam apa jua keadaan. Buat pempengaruh berkenaan, bertanggungjawab lah atas perbuatan anda dan segera menggantikan semula duit kepada individu – individu yang telah ditipu. Ingat, penipuan itu tidak akan kekal lama.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan