Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (HR Bukhari No: 5604)
Hadis di atas jelas menerangkan tentang perintah Rasulullah SAW kepada kita sebagai umat Baginda agar menjauhi sifat prasangka buruk sesama manusia. Ini menunjukkan sifat mazmumah tersebut sangat merbahaya dan boleh memecahbelahkan ummah Islam di negara ini. Buruk sangka adalah salah satu daripada sifat-sifat mazmumah. Manakala mencari-cari kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya sangkaan buruk di dalam hati manusia. Apabila timbulnya buruk sangka, maka sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan seseorang itu timbul sehingga terbukalah kesalahan, aib atau kelemahan seseorang itu.
Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka dengan sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT. Dosa orang yang buruk sangka adalah besar dan termasuk dalam perbuatan jahat. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud:
“…sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.”
Allah SWT mengingatkan, sebahagian prasangka itu perbuatan dosa kerana ia timbul daripada rasa iri hati atau dengki terhadap seseorang. Ia juga menyebabkan timbul tuduhan tidak berasas kerana orang lain turut melakukan perbuatan serupa yang menambahkan prasangka sedia ada. Teknologi komunikasi yang tidak bersempadan meluaskan penyebaran maklumat boleh meracuni akal manusia yang tidak tahu membuat pertimbangan antara fitnah dan hak. Oleh itu, sebagai hamba beriman kepada Allah SWT, kita perlu menjaga pertuturan atau berdiam diri.
Oleh itu, kita sebagai Muslim hendaklah menaruh prasangka buruk kepada orang lain dan mencari-cari isu atau kelemahan orang lain. Apatah lagi isu atau kelemahan itu ditulis dan ditularkan di media elektronik seperti Facebook, Whatsapp, telegram dan sebagainya hingga mengaibkan peribadi seseorang. Hal ini kerana ia akan mendorong kepada perbuatan menuduh tanpa bukti yang menjadi dosa besar.
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)