Home Kemanusiaan/Motivasi HIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN DENGAN PENUH PENGHARAPAN AGAR DAPAT MENDAPAT KEREDHAAN ALLAH...

HIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN DENGAN PENUH PENGHARAPAN AGAR DAPAT MENDAPAT KEREDHAAN ALLAH SWT

239
0

Pada tanggal 25 Februari bersamaan dengan 15 Syaaban 1445 Hijrah, In shaa Allah kita akan melalui satu malam Istimewa yang dipanggil malam Nisfu Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah dari perkataan nisfu yang bermaksud separuh (Nisf). Malam Nisfu Syaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat.Banyak kelebihan malam nisfu syaban, antaranya malam ini adalah terbukanya pintu langit dan malam dimakbulkan doa. Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.” (HR Ibnu Majah).

Apakah hukum menghidupkan malam Nisfu Syaaban? Secara umumnya, kesemua amalan pada malam Nisfu Syaaban tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Namun, sekiranya terpulanglah ke atas diri kita yang mana dirasakan lebih baik.

Malam Nisfu Syaaban adalah malam yang diberkati Allah SWT. Namun, adalah diharapkan supaya tidak ada orang yang menganggapkan bahawa malam Nisfu Syaaban sebagai malam penentuan nasib seseorang pada tahun berikutnya sehingga terdapat sebahagian daripada masyarakat sanggup meninggalkan pekerjaan pada malam tersebut untuk menghadiri malam Nisfu Syaaban kerana bimbang terlepas habuannya. Kepercayaan seperti ini adalah dibimbangi akan menjejaskan akidahnya sebagai seorang Muslim.

Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa pada malam tersebut adalah digalakkan kepada umat Islam untuk memperbanyakkan ibadat seperti memperbanyakkan bacaan al-Quran, zikir, berdoa dan Qiamullail sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis. Semestinya pengampunan Allah SWT tersebut berasaskan amalan-amalan soleh yang dilakukan oleh hamba-hambaNya. Galakan serta amalan-amalan tersebut seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:

“Apabila datang malam Nisfu Syaaban maka hendaklah kamu bangun mendirikan solat-solat sunat pada malamnya dan melaksanakan puasa sunat pada siang harinya. Kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut bermula dari terbenam matahari.” (HR Ibnu Majah).

Justeru, marilah kita menghidupkan malam Nisfu Syaaban ini dengan beribadah kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan agar mendapat keampunan dan keredhaan daripadaNya. Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik.” (HR Bukhari).

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Terengganu