Home Kemanusiaan/Motivasi JANGAN JADI KADUK NAIK JUNJUNG! HORMATI ORANG YANG BERJASA

JANGAN JADI KADUK NAIK JUNJUNG! HORMATI ORANG YANG BERJASA

15
0

Islam mendidik umatnya agar sentiasa menghargai setiap kebaikan yang diterima dan tidak sesekali membalas jasa dengan penghinaan atau keburukan. Isu ucapan kontroversi aktivis asal keturunan Rohingya, Noor Azizah, yang didakwa memburukkan Malaysia, Indonesia dan Thailand telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat. Ramai beranggapan kenyataan tersebut tidak seimbang kerana mengabaikan hakikat bahawa negara-negara ini telah membuka ruang perlindungan kepada puluhan ribu pelarian Rohingya sejak sekian lama. Walaupun setiap negara mempunyai kekurangan dalam pengurusan sesuatu isu, ia tidak seharusnya menafikan jasa dan pengorbanan yang telah diberikan.

Allah SWT berfirman:

“Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang dekat, jiran yang jauh, teman sejawat, musafir dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”
(QS An-Nisa’: 36)

Ayat ini mengingatkan bahawa menghargai jasa dan berbuat baik kepada manusia merupakan tuntutan agama. Sikap sombong, angkuh serta melupakan kebaikan orang lain adalah sifat yang dibenci oleh Allah SWT. Seseorang yang pernah menerima bantuan sewajarnya menunjukkan rasa syukur dan menghormati pihak yang telah menghulurkan pertolongan, bukan membalasnya dengan kata-kata yang boleh mengguris hati atau mencemarkan nama mereka.

Rasulullah SAW turut bersabda:

“Tidak bersyukur kepada Allah orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.”
(HR Abu Daud dan at-Tirmizi)

Hadis ini menjelaskan bahawa menghargai jasa manusia adalah sebahagian daripada kesyukuran kepada Allah SWT. Walaupun kita mempunyai pandangan, teguran atau cadangan untuk penambahbaikan, Islam mengajar agar ia disampaikan dengan hikmah, adab dan kejujuran. Kritikan yang membina lebih dekat dengan akhlak Islam berbanding kata-kata yang boleh menimbulkan salah faham atau menafikan segala kebaikan yang telah dilakukan.

Justeru, janganlah kita menjadi seperti peribahasa “kaduk naik junjung”, iaitu melupakan asal usul dan jasa orang yang pernah membantu ketika diri berada dalam kesusahan. Seorang Muslim hendaklah sentiasa bersikap adil, mengenang budi, menghormati pihak yang berjasa serta menzahirkan rasa syukur atas setiap nikmat yang diterima. Dengan akhlak yang mulia inilah keharmonian dapat dipelihara dan maruah Islam terus terpelihara sebagai agama yang mengangkat nilai syukur, amanah dan penghormatan sesama manusia.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS)