Home Kemanusiaan/Motivasi KELEBIHAN IBADAH BERWAKAF MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

KELEBIHAN IBADAH BERWAKAF MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

357
0

Perkataan wakaf di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain. Manakala di dalam Bahasa Arab ia membawa maksud bererti berdiri atau berhenti.

Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan Umat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Para Fuqahah (ahli fiqh dan ulama’) berpendapat amalan wakaf merupakan ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf buat selama-lamanya dan sangat dituntut dalam agama Islam. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran ayat 92 yang bermaksud:

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Allah SWT telah mensyariatkan wakaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu agenda untuk mendampingkan diri kepadanya dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang menginfaqkan harta mereka ke jalan yang diredhai sebagaimana firman Allah SWT:

“Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (KurniaNya) lagi Maha Mengetahui”. (QS al – Baqarah: 261).

Antara kelebihan sekiranya kita melakukan wakaf untuk manfaat ummah adalah:

• Menzahirkan pengabdian diri kepada Allah SWT.
• Sebagai langkah mendekatkan diri kepada Allah SWT.
• Mendapat kebajikan yang berkekalan walaupun pewakaf telah meninggal dunia
• Berkongsi manfaat dikalangan umat Islam dalam menyemarakkan syiar Islam.
• Mengukuhkan perpaduan dan ekonomi ummah.
• Mengekalkan pemilikan dan pengkongsian aset umat Islam di negara ini.

Sedekah jariah yang disebutkan di dalam hadis di atas merujuk kepada wakaf kerana ia memberi manfaat yang berterusan kepada orang ramai. Maka dari itu, sekiranya ada sedikit lebih harta kita tidak salah untuk kita berwakaf demi memberikan manfaat kepada seluruh umat Islam. Sabda Rasulullah SAW:

“Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkannya dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya.” (HR Muslim).

Sumber: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ)