Kewujudan inisiatif seperti talian bantuan wanita dan anak oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) hari ini menjadi “talian hayat” kepada ramai bekas isteri yang terabai, terutama apabila nafkah tidak ditunaikan. Hakikatnya, masih ramai wanita terpaksa berjuang sendirian membesarkan anak kerana bekas suami culas menjalankan tanggungjawab. Sedangkan dalam Islam, nafkah kepada isteri (dalam tempoh tertentu) dan anak adalah kewajipan yang tidak gugur walaupun perceraian berlaku. Sokongan seperti BSK dan saluran bantuan rasmi memberi ruang untuk mereka mendapatkan bantuan, kaunseling serta perlindungan agar tidak terus terpinggir.
Fungsi talian bantuan seperti ini bukan sekadar menerima aduan, tetapi menjadi “jambatan” kepada bantuan kebajikan, perlindungan dan sokongan emosi kepada wanita serta kanak-kanak yang terkesan. Ia beroperasi 24 jam dan membantu kes melibatkan pengabaian, keganasan rumah tangga serta krisis keluarga dengan menyediakan intervensi segera termasuk kaunseling dan perlindungan. Dalam konteks nafkah, ia memberi harapan kepada bekas isteri bahawa mereka tidak bersendirian, ada sistem yang menyokong untuk menuntut hak dan mempertahankan kebajikan anak-anak.
Kesedaran ini penting khususnya kepada para suami bahawa nafkah bukan ihsan, tetapi tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat. Firman Allah SWT: ““Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan” (Surah At-Talaq: 7).
Jangan jadikan perceraian sebagai alasan untuk lepas tangan. Anak tetap darah daging sendiri, dan bekas isteri berhak mendapat keadilan sewajarnya. Jika gagal menunaikan tanggungjawab ini, bukan sahaja menzalimi keluarga, malah membuka ruang kepada campur tangan pihak lain demi menjaga kebajikan mereka.








