Kononnya nak promosikan gaya hidup sihat, tapi dalam masa yang sama jenama arak pula diberi ruang menjadi penaja rasmi acara sukan!
Isu HYROX Kuala Lumpur yang mengumumkan Carlsberg sebagai rakan bir rasmi sebelum menarik balik kerjasama itu selepas bantahan masyarakat dan ketegasan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) patut menjadi pengajaran besar kepada semua penganjur.
Jangan ingat selagi kita tak minum arak, semuanya tak ada masalah! Dalam Islam, arak jelas haram, manakala dari sudut fiqh, penglibatan secara langsung dalam mempromosi perkara haram juga perlu dijauhi kerana boleh termasuk dalam perbuatan membantu maksiat. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ma’idah, ayat 2: وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
Umat Islam di Malaysia kena sedar, bukan semua yang dibungkus atas nama sukan dan gaya hidup sihat wajar kita sokong membuta tuli! Kita bukan menentang sukan, larian atau pertandingan kecergasan, tetapi kita menolak usaha menormalisasikan jenama dan promosi arak dalam ruang yang sepatutnya membina masyarakat sihat, apatah lagi apabila melibatkan penyertaan orang Islam. Jangan sampai kerana mengejar tajaan, keuntungan dan populariti, batas halal haram dianggap perkara kecil yang boleh dikompromi!
TAHNIAH kepada pihak KBS yang bertegas dan masyarakat yang berani bersuara sehingga kerjasama tajaan tersebut ditarik balik! Jadikan isu ini peringatan kepada semua penganjur acara sukan di Malaysia bahawa sensitiviti agama, prinsip syariah dan tanggungjawab sosial bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Sebarkan kesedaran ini, kerana hari ini mungkin sekadar logo jenama arak di pentas sukan, tetapi jika terus dinormalisasikan, generasi akan datang mungkin tidak lagi melihatnya sebagai sesuatu yang salah!








