Home Ektremisme/radikalisme “SQUID GAME” DI DUNIA NYATA – PULAU JEJU GEMPAR, MISTERI ORANG HILANG...

“SQUID GAME” DI DUNIA NYATA – PULAU JEJU GEMPAR, MISTERI ORANG HILANG TERBONGKAR!

17
0

Pulau Jeju di Korea Selatan yang terkenal sebagai destinasi pelancongan kini berdepan satu skandal besar melibatkan pengurusan kes orang hilang yang mengejutkan ramai. Seorang anggota polis di Jeju disiasat selepas didakwa menutup secara tidak wajar sekurang-kurangnya dua kes orang hilang melibatkan seorang wanita 30-an dan seorang lelaki 60-an, yang kemudian kedua-duanya ditemui meninggal dunia. Kes ini mencetuskan kemarahan awam dan siasatan besar-besaran terhadap sistem pengendalian kes orang hilang di negara itu.

Lebih mengejutkan, siasatan lanjut menemui bahawa daripada hampir 300 kes yang dikendalikannya, sekurang-kurangnya 25 kes lain turut disyaki ditutup secara tidak wajar atau dipadam daripada sistem. Dalam beberapa kes, status mangsa didakwa ditandakan sebagai “selamat” atau “ditemui” tanpa pengesahan sebenar. Skandal ini turut mendedahkan kelemahan dalam sistem pemantauan dalaman polis yang membolehkan kes ditutup tanpa semakan rapi.

Kes ini turut mencetuskan perbandingan netizen dengan dunia dramatik seperti “Squid Game”, bukan kerana permainan, tetapi kerana gambaran “hilangnya manusia dalam sistem” tidak diendahkan, tatkala disedari ianya sudah terlambat. Walaupun siasatan masih berjalan dan pegawai terbabit telah didakwa di mahkamah, pihak berkuasa Korea Selatan kini turut membuka semakan semula ratusan ribu kes orang hilang bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

Malaysia perlu ambil iktibar dari kes ini. Pastikan integriti, ketelusan dan semakan berlapis sentiasa jadi keutamaan supaya tragedi seperti ini tidak berulang di mana-mana sistem keselamatan kita.