Program Keretapi Sarong sempena Hari Malaysia pada asasnya membawa mesej perpaduan dan penghargaan terhadap warisan budaya dan ia sesuatu yang baik untuk diraikan. Namun timbul kebimbangan apabila budaya yang dipamerkan kadang-kadang melangkaui batas seperti pemakaian yang mengelirukan identiti jantina, pergaulan bebas lelaki dan wanita tanpa kawalan, serta suasana hiburan yang terlalu keterlaluan sehingga mengatasi nilai adab. Apabila budaya hanya dikejar dari sudut “kemeriahan”, tetapi batas agama diketepikan, di situ mula timbul persoalan tentang arah sebenar program.
Islam tidak menolak budaya, tetapi budaya mesti dipandu oleh syariat. Allah SWT mengingatkan dalam Surah An-Nur ayat 30–31 tentang penjagaan pandangan dan kehormatan diri dan batasan perhiasan sebagai asas maruah insan. Budaya seperti pemakaian sarong itu indah, namun ia mesti kekal dalam kerangka adab, tidak bercampur dengan elemen yang boleh merosakkan nilai atau menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
Akhirnya, kita perlu sedar bahawa perpaduan tidak boleh dibina atas hiburan semata-mata. Perpaduan yang sebenar lahir daripada akhlak, hormat dan batas yang jelas. Program Keretapi Sarong sempena Hari Malaysia boleh diteruskan, tetapi perlu ada garis panduan yang lebih jelas agar budaya tidak berdiri lebih tinggi daripada syariat dan kemeriahan tidak mengatasi nilai yang membentuk jati diri bangsa dan agama.








