Ancaman dadah rentas sempadan semakin membimbangkan apabila sindiket antarabangsa menggunakan pelbagai laluan untuk membawa masuk dan mengedarkan dadah. Antara kes yang mendapat perhatian ialah penahanan seorang juruterbang warga Malaysia di Indonesia pada Julai lalu selepas pihak berkuasa menemui lebih 70,000 pil ekstasi serta methamphetamine dalam bagasinya.
Kes seperti ini bukan sekadar melibatkan individu yang ditahan, tetapi boleh memberi kesan lebih besar kepada keselamatan rakyat Malaysia sekiranya rangkaian sindiket berjaya membawa masuk dadah ke dalam negara. Dadah yang tersebar dalam masyarakat boleh menjejaskan golongan muda, merosakkan institusi keluarga serta meningkatkan masalah sosial dan jenayah. Jika rosak anak muda, apa yang bakal terjadi pada masa hadapan negara?
Sebab itu Malaysia dan Indonesia kini memperkukuh perkongsian risikan, pertukaran maklumat dan usaha penguatkuasaan bersama bagi membanteras sindiket dadah rentas sempadan. Kerjasama sebegini penting supaya maklumat mengenai pergerakan sindiket dapat dikongsi dengan lebih pantas dan tindakan boleh diambil sebelum ancaman tersebut sampai kepada rakyat. Jangan kerana wang, kabur mata, maruah tergadai, akidah ditinggalkan, akhirnya musnah diri, musnah agama, musnah negara.








