Baru-baru ini tular satu kes melibatkan seorang ustaz dari Indonesia yang dikenali sebagai Oknum Kiai, mencetuskan kontroversi apabila mendakwa kononnya pernah melihat Allah S.W.T, dicium Nabi Muhammad S.A.W serta diberi “air liur nabi” untuk mencapai makrifat. Beliau juga mendakwa bahawa dirinya adalah wali Allah yang perlu diterima seluruh umat Islam.
Di sebalik dakwaan luar biasa tersebut, terbongkar kejijikan pengasas Pondok Pesantren Ndholo Kusumo ini. Antaranya kes gangguan seksual dan pencabulan terhadap 50 orang pelajar perempuan, menggunakan pengaruh agama untuk doktrin ideologinya, serta memberi tekanan psikologi memaksa mangsa patuh arahannya. Inilah Abuja, ibarat manusia bertopengkan syaitan.
Dalam Islam, dakwaan melihat Allah di dunia adalah bertentangan dengan prinsip akidah yang sahih. Allah SWT berfirman: “Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala yang kelihatan…” (Surah Al-An’am: 103). Sebarang pengakuan luar biasa tanpa dalil yang jelas daripada Al-Quran dan sunnah wajib ditolak. Rasulullah S.A.W juga telah memberi amaran tentang kemunculan golongan yang mempergunakan agama untuk menyesatkan umat demi kepentingan diri.
Kes ini menjadi peringatan kepada umat Islam di Malaysia agar tidak mudah taksub atau terpedaya dengan individu yang berselindung di sebalik imej agama. Setiap ajaran perlu dinilai dengan ilmu dan rujukan yang sahih. Jika berlaku penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan, ia mesti dilaporkan tanpa rasa takut. Agama bukan alat untuk mengaburi atau menindas, tetapi panduan untuk menegakkan kebenaran dan melindungi maruah umat.
#OknumKiai #Pesantren #NdholoKusumo #AjaranSesat #hukumislam #Abuja


