Islam sangat menekankan keperluan tolong menolong sesama insan. Sebagai umat yang beriman dan selalu berharap rahmat dan redha dari Allah SWT, kita hendaklah sentiasa mengikuti perintah yang telah diberikan-Nya. Salah satu di antara perintah Allah SWT yang dapat dilakukan oleh semua orang Islam adalah saling menolong, tidak hanya antara sesama umat Muslim, namun juga kepada sesama umat manusia. Menolong seseorang tidak semestinya menggunakan harta atau wang ringgit semata-mata tetapi kita boleh membantu mereka yang memerlukan dengan tenaga dan waktu atau lain-lain pertolongan yang boleh kita berikan. Cuma perlu ditegaskan bahawa kita hanya perlu saling tolong menolong dalam kebaikan dan bukannya dalam hal keburukan. Hal ini adalah seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
“Tolong menolonglah kalian dalam kebaikan dan takwa, dan janganlah kalian tolong menolong dalam perbuatan dosa dan pelanggaran.” (QS al-Maidah: 2).
Tolong-menolong amalan yang mulia dan sangat dianjurkan dalam Islam untuk mendapat kasih sayang Allah SWT. Apatah lagi apabila saudara seagama kita yang sedang di dalam kesusahan, maka wajiblah bagi kita untuk membantu mereka. Amalan tolong-menolong ini bukanlah satu amalan yang bermusim, akan tetapi ia amalan selama-lamanya agar kita beroleh pahala yang banyak dan tidak putus.
Seringkali kita lihat apabila berlakunya sesuatu bencana, pasti rakyat negara kita antara yang terawal menghulurkan bantuan. Akan tetapi, apabila keadaan mulai reda maka bantuan itu terhenti.
Seperti dijelaskan di atas tadi, amalan tolong-menolong ini tidak semestinya melibatkan wang ringgit, tetapi tolong-menolonglah kita dari segi luang masa atau tenaga untuk membantu mereka yang dalam kesusahan dari segi sokongan moral apatah lagi sokongan secara rohani kepada mereka-mereka yang kehilangan ahli keluarga tersayang akibat pandemik Covid-19. Ketahuilah, di antara ciri keperibadian Islam yang unggul ialah suka tolong menolong sesama insan atas landasan kebajikan dan ketakwaan.
Walaupun keadaan Covid-19 yang sedikit memulih, kita masih tetap perlu terus membantu sesama insan yang memerlukan pertolongan. Ramai di antara mereka yang baru mula bangkit dari kejatuhan dan saat inilah kita harus berada bersama-sama mereka untuk membantu memulihkan semangat mereka. Dengan membantu orang yang mengalami kesusahan dan memerlukan bantuan, kita telah melakukan kewajipan kita sebagai seorang Muslim.
Oleh itu, umat Islam dianjurkan untuk saling tolong-menolong dalam hal kebaikan. Bantuan sekecil apapun yang dapat diberikan kepada orang lain menjadi sangat berharga buat individu tersebut. Bantuan yang diberikan tidak hanya harta-benda, tetapi ia boleh disalurkan dalam bentuk tenaga dan idea yang sesuai dengan kemampuan. Sebagai umat Islam, sudah seharusnya untuk kita saling mengingatkan untuk membuat kebaikan, agar sama-sama istiqamah di jalan Allah SWT untuk menggapai syurgaNya.
Dari Umar Ibn khattab, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya amal-amal itu dengan niat dan sesungguhnya masing-masing orang mendapatkan apa yang dia niatkan.” (HR Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil peringatan tentang sabda Rasulullah SAW yang menjelaskan kelebihan menolong orang lain yang dalam kesusahan untuk dijadikan motivasi buat kita dalam menolong secara berterusan (istiqamah) terhadap insan lain yang memerlukan. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim).
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).