Home Kemanusiaan/Motivasi MENGHINA DAN MENGAIBKAN ORANG LAIN BUKANLAH AKHLAK ISLAM MALAH IA AKAN MEMECAH...

MENGHINA DAN MENGAIBKAN ORANG LAIN BUKANLAH AKHLAK ISLAM MALAH IA AKAN MEMECAH BELAHKAN MASYARAKAT

1742
0

Mutakhir ini, kita melihat banyak sekali perlakuan menghina dan mengaibkan orang lain tidak kira melalui perkataan mahupun gambar dan video yang bertebaran di laman-laman sosial. Malah, perlakuan ini telahpun dianggap suatu perkara yang normal di kalangan para remaja dengan menganggap ini suatu bahan gurauan semata-mata.

Tahukah kita bahawa perbuatan tersebut boleh mengundang kepada gejala bunuh diri? Ini bukanlah perkara yang baru di Malaysia, malah ada beberapa kes yang melibatkan pengaiban ke atas diri mangsa dan paling menakutkan mereka adalah golongan belia. Sebagai contoh, kejadian buli di Johor yang melibatkan seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun pada 2 Mac yang lalu. Remaja berkenaan terjun dari tingkat empat bangunan kedai akibat tidak tahan dibuli dan dihina oleh dua orang rakan sekolahnya.

Rasulullah SAW bersabda:

“Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.” (HR al-Tirmizi: 1162)

Islam amat menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengucapkan perkataan-perkataan yang baik kepada saudaranya sama ada muslim atau bukan Islam. Tiada insan di dalam dunia ini yang mahu atau meminta untuk dirinya dilahirkan atau dijadikan sebagai yang kurang sempurna dan mempunyai cacat cela. Jangan kita mengejek-ngejek atau menghina orang lain walaupun individu itu musuh kita, bukan Islam dan sebagainya kerana mereka tetap makhluk-makhluk Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang dihina itu) lebih baik daripada mereka (yang menghina), dan jangan pula wanita-wanita (merendah-rendahkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang dihina itu) lebih baik daripada wanita (yang menghina) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil- memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (QS al-Hujurat: 11)

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Harian Metro “Umat Islam ditegah menghina ciptaan Illahi” (13 November 2019) dan Sinar Harian “Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan bangkai saudaranya yang sudah mati” (28 Februari 2020)