Pada ketika ini, kita sering mendengar pelbagai dakwaan yang dilemparkan oleh golongan ateis bagi membuktikan fahaman dan pegangannya benar. Antaranya termasuklah dakwaan bahawa terlalu banyak versi Tuhan dalam pelbagai agama yang menunjukkan Tuhan sebenar itu tidak wujud. Oleh itu adakah Tuhan itu wujud dan mana satu yang benar?
Dalam Islam kita berpegang teguh dengan sifat Allah Mukhallafatuhu Lil Hawadis (tidak sama Allah dengan segala yang baru). Sifat ini berdalilkan daripada surah asy-Syura ayat 11 yang bermaksud: “Tiada sesuatu pun yang serupa dengan Allah”. Oleh itu, dapat dijelaskan bahawa Islam satu-satunya agama yang tidak menggambarkan Tuhan kerana dalam al-Quran dan hadis tiada satu pun ayat yang menggambarkan Allah. Maka sudah tentu Islam adalah agama yang benar.
Golongan ateis perlu mengkaji Islam dengan sebaiknya agar dapat menyedari keistimewaan agama Islam sebelum memukul rata Islam dengan agama yang lain. Sepertimana yang dilakukan oleh Brother Tim (Abdul Raheem) yang suatu ketika dahulunya merupakan seorang ateis tegar dan sering berdebat dengan agamawan demi menarik masyarakat Islam khususnya dengan menyatakan bahawa Tuhan itu tidak wujud, akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan keluarganya demi Islam kerana telah mendapat jawapan disebalik ‘persoalan-persoalan Tuhan’ dalam agama Islam sehingga menjadi pendakwah Islam yang gigih.
Mereka yang berfahaman ateisme turut mendakwa masalah kesengsaraan menjadi bukti bahawa Tuhan itu tidak wujud. Sedangkan dalam Islam kita semua sedar bahawa Tuhan itu Maha Bijaksana mengatur segala-galanya berkaitan makhluk. Jika semuanya kaya, maka siapakah yang hendak bekerja dan mengambil upah?
Oleh itu, Allah menjadikan sebahagian manusia kaya dan sebahagian lagi miskin. Bahkan terkadang beberapa jutawan adalah berasal daripada keluarga miskin kerana atas sikap kuat berusaha dan kebergantungannya pada Tuhan secara istiqomah. Hakikatnya pelbagai lapisan masyarakat yang wujud itu sebenarnya membuktikan kewujudan Tuhan yang mengatur segalanya. Nikmat Tuhan yang manakah lagi engkau dustakan?
Sumber: Harian Metro, 10 Ogos 2020