Home Kemanusiaan/Motivasi AMALKAN KONSEP ‘WASATIYYAH’ (KESEDERHANAAN) UNTUK MENEPIS PERSEPSI BURUK TERHADAP ISLAM

AMALKAN KONSEP ‘WASATIYYAH’ (KESEDERHANAAN) UNTUK MENEPIS PERSEPSI BURUK TERHADAP ISLAM

1155
0

Umum mengetahui, agama Islam sering sahaja dikaitkan dengan keganasan dan ekstremisme hingga mendatangkan rasa Islamophobia terhadap penganut agama lain. Sebenarnya, hal itu tidak tepat sama sekali kerana agama Islam mengajarkan umatnya supaya sentiasa mengamalkan kesederhanaan atau pertengahan dalam setiap sudut kehidupan. Konsep kesederhanaan ataupun disebut sebagai ‘wasatiyyah’ adalah satu cara yang tidak terlalu berat namun tidak terlalu mudah untuk diamalkan.
Sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik perkara itu ialah pertengahannya.” (HR Baihaqi)

Jika diamati dengan dalamnya konsep ini, ramai di kalangan Muslim mengamalkannya termasuk di negara ini. Cuba lihat, bagaimana kehidupan para umat Islam di negara ini yang kebanyakannya penuh dengan kesederhanaan dan tidak melampau-lampau. Cuma sebahagiannya sahaja yang terpesong, ini menunjukkan sebilangan besar daripada mereka benar-benar mengamalkan konsep ini apatah lagi bila hidup dalam kalangan masyarakat majmuk. Masyarakat Islam Malaysia perlu memahami dan mengamalkan konsep ‘wasatiyyah’ sebagai satu kaedah bagi memupuk kebersamaan dan keharmonian dalam negara. Jika seseorang itu hanya bersemangat mengamalkan ajaran agama tetapi tidak berlandaskan ilmu, niat yang baik itu boleh tersasar.

Islam tidak berdiri di atas kekerasan, melampau dan keterlaluan, tidak moderat, kemungkaran, kejahilan, tiada keadilan dan sebagainya. Keruntuhan sesebuah tamadun manusia pada sama silam dan hari ini adalah kerana wujudnya dua golongan ekstrem dan keterlaluan. Satu pihak yang melampau sifatnya dan satu pihak yang terlalu mengabaikan sehingga tidak mempedulikan batasan agama, prinsip asas dan keutamaan. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengamalkan konsep pendekatan ‘wasatiyyah’ yang pernah dianjurkan oleh kerajaan melalui Dasar Wasatiyyah Negara (DWN). Dengan adanya pendekatan ‘wasatiyyah’, ia akan melahirkan generasi yang berlapang dada dan berjiwa besar, merapatkan hubungan pemerintah dengan rakyat yang akan meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat serta menepis persepsi buruk terhadap Islam demi kemakmuran dan keharmonian pada masa hadapan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan