Home Kemanusiaan/Motivasi KUKUHKAN KEHARMONIAN KAUM AGAR KESEJAHTERAAN NEGARA KEKAL TERJAMIN

KUKUHKAN KEHARMONIAN KAUM AGAR KESEJAHTERAAN NEGARA KEKAL TERJAMIN

898
0

Mengukuhkan keharmonian kaum memerlukan usaha dan pendampingan berterusan. Usaha mengekalkan keharmonian negara yang memiliki masyarakat berbilang kaum dilihat bukan satu perkara mudah dan boleh dipandang enteng. Semua lapisan masyarakat tidak kira di peringkat pemimpin negara mahupun anak kecil perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keharmonian yang telah kita kecapi selama ini.

Dalam kehidupan masyarakat majmuk yang diamalkan di negara ini, semua pihak perlu memahami asal usul, menghormati serta menerima budaya, bahasa, agama dan cara hidup setiap bangsa. Kita juga perlu menanam sifat sebagai sebuah keluarga dan saudara. Sekiranya kunci ini disematkan dalam dada setiap lapisan masyarakat, sudah pasti keharmonian dapat berkekalan.

Firman Allah SWT:

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakanmu daripada lelaki dan perempuan dan menjadikanmu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.” (QS al-Hujurat: 13)

Manusia diciptakan Allah dengan sebaik-baik ciptaan berbanding makhluk lain, bebas hidup dan meneruskan kehidupan. Hak itu tidak sedikitpun terhalang kerana berbeza agama, bangsa, keturunan atau minoriti dalam sesebuah negara. Asas pemikiran Islam kepada hubungan etnik ialah persamaan antara sesama manusia.

Semangat muhibah terhasil apabila rakyat yang berasal dari etnik dan agama yang berbeza saling menghormati antara satu sama lain dan sentiasa berhati-hati dan menyedari sensitiviti agama dan budaya masing-masing demi keharmonian antara kaum. Semua manusia, biar dari mana asal mahupun keturunan adalah sama sahaja kejadiannya. Dengan kepelbagaian inilah, kita seharusnya dapat mengukuhkan lagi keharmonian di antara semua kaum di negara ini agar kesejahteraan negara kekal terjamin.

Sumber: Sinar Harian “Perpaduan kunci keharmonian” (9 Februari 2020)