Home Kemanusiaan/Motivasi AMANAH PENENTU TAHAP KEIMANAN

AMANAH PENENTU TAHAP KEIMANAN

1034
0

Hidup di dunia ini bukanlah hanya untuk bersenang-lenang, mengejar keseronokan dan bersuka ria mengikut hawa nafsu semata. Kita telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk sentiasa berbuat baik, beserdehana dan juga melakukan ibadah dengan sebanyak-banyaknya di atas dunia ini agar kita beroleh rahmat dan ganjaran syurga daripadaNya di akhirat kelak. Dalam hidup ini, ada satu perkara yang umat manusia sangat susah untuk melaksanakannya, iaitu menjaga amanah.

Islam amat menganjurkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat amanah. Paling menarik, sifat ini dianggap titik penentu atau garis pemisah tahap keimanan dan keagamaan seseorang insan. Ini sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rsulullah SAW:

“Tiada iman bagi orang tidak yang memegang amanahnya dan tiada agama bagi orang tidak dapat dipegang janjinya.” (HR Ahmad)

Menjaga amanah tidak tertakluk kepada yang bergelar pemimpin sahaja, malah amanah daripada Allah SWT kepada setiap daripada kita juga perlu dititikberatkan. Sebagai contoh, tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan kenyamanan dan persekitaran yang sesuai kepada anak-anaknya juga boleh dikira sebagai amanah. Mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku baru-baru ini, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk saling memastikan persekitaran sekeliling sentiasa dalam keadaan aman dan harmoni.

Kini, tiada lagi istilah “jaga tepi kain” di masa sekarang kerana semua pihak perlu memainkan peranan dengan menjaga amanah daripada Allah SWT dalam semua segi. Apa yang kita lakukan hari ini adalah ‘talian hayat’ kita di hari akhirat sana. Baik kita menjaga amanahNya, baiklah ganjarannya. Jika sebaliknya, balasan yang menanti. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (QS Al-Ahzab, ayat 72).

Sesungguhnya tanggungjawab menjaga amanah itu sememangnya amat berat, sehinggakan langit, bumi dan gunung-ganang yang besar tidak sanggup memikulnya. Oleh itu, kita sebagai pemegang amanah haruslah sentiasa mengingatkan diri sendiri dan diri orang lain tentang kepentingan menjaga amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Di sisi kanan dan kiri kita sentiasa ada malaikat yg sentiasa memerhatikan amalan kebaikan dan kejahatan yang kita lakukan tanpa leka dan mencatit amalan kita sebagai bukti di hadapan Allah di akhirat nanti.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)