Home Ateis ATEISME ADALAH SATU BENTUK PENJAJAHAN AKIDAH UMAT ISLAM YANG SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

ATEISME ADALAH SATU BENTUK PENJAJAHAN AKIDAH UMAT ISLAM YANG SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

1535
0

Isu ateisme semakin mendapat perhatian masyarakat di Malaysia kerana para pendukungnya semakin berani membicarakannya malah mengisytiharkan pegangan mereka secara terbuka terutamanya melibatkan umat Melayu-Islam.

Menurut kajian pejabat mufti Wilayah Persekutuan, telah wujud satu kelompok yang dikenali sebagai new atheist. Mereka terdiri daripada kalangan penulis-penulis buku abad ke-21 yang mempromosikan ateisme menerusi buku-buku dan ulasan kewartawanan. Kelompok ini jauh lebih agresif daripada pendekatan ateis pada zaman silam. Mereka berkongsi pendirian yang sama dalam isu-isu melibatkan agama dan Tuhan.

Dapatan statistik daripada Global Index of Religiousity and Atheism juga mendapati rakyat di beberapa negara Islam yang dianggap konservatif dan kuat beragama sudah ramai dan berani mengakui dengan yakin bahawa mereka adalah ateis. Di Malaysia, kajian menunjukkan sebanyak 3 peratus rakyat Malaysia mengakui ateis, 91 peratus masih berpegang kepada agama dan 6 peratus lagi tidak diketahui pegangan agamanya.

Ateisme hanyalah satu jelmaan daripada banyak gejala negatif Barat yang menyimpang, menyeleweng dan keluar daripada ajaran Islam yang dikenali sebagai de-islamization (ingkar Islam) termasuklah menukar agama lain (murtad), syirik, ekstremisme, radikalisme, sekularisme, liberalisme dan lain-lain. Maka tidak salah jika ateis itu boleh dikategorikan sebagai satu bentuk penjajahan yang merosakkan akidah.

Walaupun peratusan ateis di Malaysia masih berskala kecil, namun hal ini sangat membimbangkan berikutan pengaruh sekularisme dan liberalisme Barat melalui media sosial yang berpotensi untuk meningkat jika tidak diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak. Hal ini perlu dipandang serius kerana keyakinan terhadap ateis merupakan satu bentuk penjajahan yang boleh merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Sumber: Laporan Perkembangan Mutakhir Pengaruh Ateisme di Malaysia (ummahprihatin.com)