Hidup di dalam negara yang mempunyai pelbagai latar belakang agama, budaya dan bangsa membolehkan rakyat Malaysia dilabelkan sebagai sebuah masyarakat yang harmoni dan utuh perpaduan. Tapi, sejauh manakah perpaduan itu boleh dicapai sekiranya kita tidak mempunyai akhlak yang baik? Ini kerana semakin majunya peredaran zaman dan teknologi, ia seakan merenggut kebaikan serta akhlak masyarakat pada hari ini.
Jika akhlak yang baik dipelihara dan diamalkan oleh umat Islam, seluruh kehidupan manusia akan menjadi aman dan tenteram serta tiada persengketaan. Sementara itu, salah satu tujuan Rasulullah SAW diutus ke dunia ini juga adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia sepertimana Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia” (HR Bukhari).
Sebagai umat Islam yang sentiasa berpandukan dengan ajaran al-Quran dan As-Sunnah, kita hendaklah sentiasa mempraktikkan akhlak yang baik demi membina masyarakat yang harmoni. Ini adalah sebuah asas yang wajib diamalkan demi untuk memastikan kesejahteraan negara. Antara akhlak baik yang boleh dipraktikkan dalam melahirkan akhlak yang baik adalah sabar. Ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:
“Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah SWT supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.” (QS Ali ‘Imran: 200)
Dalam melakukan hal kebaikan, kita sentiasa harus mempunyai kesabaran yang tinggi. Kerana dalam mempamerkan akhlak yang baik, banyak cabaran yang akan tiba, apatah lagi ia melibatkan pembinaan masyarakat yang harmoni. Jangan mengalah, sentiasalah berakhlak mulia sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam menyantuni puak-puak jahiliyyah di bumi Arab kerana akhlak yang baik adalah asas pembinaan masyarakat yang harmoni. Firman Allah SWT:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” (QS al-Ahzab: 21)
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan