Islam amat menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengucapkan perkataan-perkataan yang baik kepada saudaranya sama ada muslim atau bukan Islam. Firman Allah SWT:
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh.” (QS al – Fussilat: 33).
Zaman kini, ramai yang semakin menjadi-jadi dengan perbuatan mempersenda atau mencela orang lain. Medium digunakan lazimnya di media sosial, seterusnya disebarkan dan menjadi tular. Seorang Muslim tidak boleh berfikiran buruk dan menghukum kecelakaan ke atas orang lain kerana hukum berkenaan mungkin akan berpaling kepada dirinya sendiri. Ini seperti yang disabdakan oleh Rasululah SAW:
“Apabila ada seseorang yang berkata; ‘Celakalah manusia’, maka sebenarnya ia sendiri yang lebih celaka dari mereka.” (HR Muslim).
Apa sahaja cacat cela melibatkan fizikal ataupun mental manusia yang telah ditakdirkan oleh Sang Pencipta kepada seseorang, kita dilarang sama sekali untuk menghina atau mencelanya. Tidak kiralah penghinaan tadi dilakukan sama ada secara zahir ketika bertemu secara empat mata (dengan empunya diri) atau melalui media sosial sekalipun, kita dilarang berbuat demikian. Tidak kiralah penghinaan tadi dilakukan sama ada secara zahir ketika bertemu secara empat mata (dengan empunya diri) atau melalui media sosial sekalipun, kita dilarang berbuat demikian.
Ingatlah, jangan kita sesekali memburukkan orang lain kerana kita mungkin lebih buruk dari mereka. Mukmin yang memperlekeh atau mencela Mukmin yang lain itu diibaratkan seperti memakan bangkai saudaranya yang sudah mati. Allah SWT berfirman:
“….Dan janganlah sebagian kamu mencela sebahagian saudara kamu yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudara kamu yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya….“ (QS. Al- Hujurat: 12).
Sepatutnya kita sebagai hamba Allah SWT perlulah memelihara mulut dan lidah kita daripada mengeluarkan kata-kata nista yang boleh menyakitkan hati orang lain. Kita harus mengakui akan kelemahan diri dahulu dan tidak menjadikan orang lain sebagai pelarian (escapist) dengan menuding jari kepada orang lain. Ini kerana mengakui akan kelemahan dan kejahilan diri sebenarnya lebih penting dari menghukum kejahatan orang lain. Rasulullah SAW bersabda:
“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari).
Sebagai seorang Muslim, kita perlulah bersifat dengan segala sifat-sifat yang diajarkan oleh Allah SWT dan Nabi SAW. Ini kerana jika celaan itu diteruskan, dikhuatiri ia akan kembali semula kepada kita. Marilah kita berusaha menjauhkan diri dari sifat mudah untuk menghukum orang lain dan memburuk-burukkan mereka.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan