Home Kemanusiaan/Motivasi RAMADHAN BULAN LATIHAN UNTUK MEMBINA SIFAT JUJUR DAN AMANAH

RAMADHAN BULAN LATIHAN UNTUK MEMBINA SIFAT JUJUR DAN AMANAH

1277
0

Sering kali kita membincangkan hal yang berkaitan dengan sifat jujur dan amanah. Dua sifat ini amat dititikberatkan dalam kehidupan seharian umat Islam sama ada di dalam kehidupan peribadi mahupun di alam pekerjaan. Hal ini sangat biasa begitu juga dalam bulan Ramadhan, bulan segala rahmat. Bahkan sesiapa yang bersikap jujur dan amanah di bulan Ramadhan, Allah SWT menjanjikan ganjaran yang tidak ternilai. Firman Allah SWT:

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).” (QS al-Ahzab: 23)

Lihat ayat al-Quran di atas, bagaimana Allah SWT menjanjikan kepada golongan yang jujur dan amanah akan dikumpulkan bersama-sama dengan orang yang baik dan para solehin. Ini kerana mereka sentiasa mengamalkan kejujuran dan amanah dalam segala segi aspek kehidupan. Jujur dan amanah adalah suatu perkara yang abstrak, tidak ada seorang pun manusia di muka bumi ini mampu menebak kejujuran dan amanah seseorang atau tidak.

Sejarah telah membuktikan bahawa hancurnya sebuah peradaban manusia bermula dengan terkikisnya nilai-nilai moral, terutama sikap amanah atau nilai-nilai kejujuran. Kerana tidak jujur dan amanah, hasil sesuatu perusahaan menjadi haram. Lalu hasil-hasil tersebut diberikan kepada keluarga untuk makan dan menjadi darah daging. Akhirnya, rumah tangga boleh bergolak, anak-anak terbiar hingga memusnahkan kebahagiaan keluarga.

Oleh itu, sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mendidik diri kita untuk membina sifat jujur dan amanah di dalam diri. Salah satu dari hikmah Ramadhan ialah melatih dan menanam sifat jujur dan amanah dalam diri kita. Walaupun kita boleh sahaja melanggar larangan Allah SWT tanpa diketahui oleh orang lain, tetapi hati kecil kita tidak mengizinkan kita melakukannya. Hati kecil kita tahu dan yakin bahawa Allah SWT melihat setiap perbuatan kita. Itulah tandanya ada sifat jujur kepada diri sendiri dan amanah melaksanakan perintah Allah SWT di dalam diri kita.

Jika sifat Jujur dan amanah itu berjaya kita amalkan dan sebatikan didalam diri kita selama sebulan di sepanjang Ramadhan, pasti ianya boleh menjadi bekalan kekuatan dalaman untuk kita amalkan seterusnya secara istiqomah di bulan-bulan lain. Sabda Rasulullah SAW:

“Tiada iman bagi orang tidak memegang amanahnya dan tiada agama bagi orang tidak dapat dipegang janjinya.” (HR Ahmad dan Dailami)

Sumber: Berita Harian “Amanah penentu tahap keimanan” (16 Jun 2020)