Ateisme bukan satu agama tetapi merupakan satu bentuk kepercayaan yang menafikan kewujudan Tuhan. Walaupun penafian Tuhan sudah wujud pada zaman-zaman kuno, tetapi bermula pada abad ke-19, ateisme membentuk menjadi satu fahaman dan aliran pemikiran dengan adanya ahli fikir yang berterus-terang menafikan kewujudan Tuhan dengan dalil-dalil tersendiri.
Ilmu sains boleh dimanfaatkan sebaiknya untuk membuktikan kewujudan Tuhan. Sebagai contoh tentang kejadian manusia, bermula dengan satu sel yang terlalu kecil yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, sel ini kemudiannya berkembang menjadi dua, empat, lapan, enam belas, tiga puluh dua dan seterusnya. Kemudian sel-sel ini berubah menjadi otot, tulang, otak, mulut, mata, telinga, jari dan sebagainya yang kemudiannya membentuk satu tubuh badan manusia yang sempurna.
Apa yang menghairankan adalah bagaimana sel-sel itu boleh mengetahui cara untuk menjadi setiap satu daripada anggota tubuh badan manusia, malah berada pada kedudukan dan susunan yang tepat? Siapakah yang memberi arahan kepada sel-sel tersebut? Adakah semua ini terjadi secara kebetulan dan tidak dirancang? Sudah tentu tidak. Terbukti ada satu kuasa Maha Besar yang mencipta dan memberikan arahan supaya sel-sel ini membentuk tubuh badan manusia dengan begitu cantik sekali.
Bukti-bukti ini telah menerbitkan keyakinan di dalam diri ramai yang tidak beragama untuk menerima kewujudan Tuhan, malah turut menjadi asbab kepada sebahagian mereka untuk memeluk agama Islam. Lebih menarik apabila fenomena ini turut berlaku di negara-negara Barat yang mempunyai ramai penganut ateis, malah melibatkan tokoh-tokoh besar yang menjadi pakar rujuk dalam pelbagai bidang.
Sebagai contoh, Dr. Jeffrey Lang, professor dalam bidang Matematik di Universiti Kansas di Amerika Syarikat adalah seorang individu ateis yang kini merupakan penganut Islam. Beliau lahir dalam keluarga Kristian Roman Katolik, namun kemudiannya menjadi ateis kerana mendapati terdapat banyak kontradiksi dan kecelaruan dalam agama lamanya. Beliau akhirnya memilih untuk memeluk Islam setelah membuat kajian terhadap isi-isi al-Quran yang sarat dengan ilmu sains moden.
Berfikirlah kembali golongan ateis, adakah Allah itu benar tidak wujud ??
Sumber: Hidayah Centre Foundation